Kelantan serlah kesediaan anjur SUKMA

Tahniah Kerajaan Negeri, PMBK, Dewan Putik

- Advertisement -

TARIAN tradisional Sarawak dalam Dewan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) malam tadi oleh atlet anak Muay Sarawak memberi gambaran kepuasan jiwa anak muda bersukan sepanjang tarikh 17-20 Mac 2022.

- Advertisement -

Mereka menari mengikut rentak gendang Muay Kelantan oleh Kumpulan Satu Malaysia yang memukul gendang sejak tengahari memberikan semangat kepada pemain-pemain dan peminat sukan bela diri ini.

Selain itu, atlet Johor, Selangor, Kedah serta Wilayah bersorak kegembiraan di atas ‘ring‘ (gelanggang). Berkibaranlah bendera negeri masing-masing dengan wajah penuh ceria dan gembira. 

Iringin lagu negeri-negeri dan selamat Sultan bergilir ganti mengiringi naiknya juara ke pentas menerima medal bagi semua kategori dan kelas pertandingan Muay sepanjang kejohanan ini. Pendek kata, dewan PUTIK sepanjang 4 hari ini hiruk pikuk dengan gema suara anak muda dari semua 14 negeri dalam Malaysia yang membawa bersama semangat kesukanan dan toleransi bersama.

Pujian buat Kelantan

Bertalu-talu pujian dilaungkan oleh para atlet kepada Kerajaan Negeri Kelantan. Siap menyanyi lagu! Saya yang berdiri di pentas utama PUTIK berasa sebak dan terharu. Pak Yob selaku Deejay utama kejohanan seakan-akan sejam sekali mengumumkan ucapan, ‘Terima kasih Kelantan!’, ‘Kita ucapkan jutaan terima kasih Kelantan kerana sediakan tempat yang selesa’, ‘Terima Kasih Kelantan sediakan makanan untuk semua atlet dan keluarga’, ‘Terima kasih Kelantan berikan yang terbaik untuk anak muay seluruh negara’ dan banyak lagi kata-kata pujian yang sukar untuk saya eja dan tuliskan di sini.

Pendek kata mereka cukup berterima kasih kepada YAB Menteri Besar atas kesudian dan kesediaan Kelantan menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Muaythai Elit Kebangsaan Junior dan Senior 2022 ini. Hampir 500 atlet dan delegasi anak Muay mewakili semua negeri termasuk jemputan khas atlet PDRM, mewarnai sukan Muay di PUTIK. 

Kata mereka lagi dan lagi, ‘terima kasih Kelantan, kami puas hati datang negeri kamu’. 

Pembangunan Anak Muay Negara

Dato’ Muhammad Shahnaz Azmi, Presiden Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) sejak hari pertama, Khamis 17 Mac menyebut bahawa mereka memilih Kelantan sebagai lokasi permulaan kejohanan setelah 2 tahun negara dilanda pandemik adalah kerana negeri ini menjadi hub kepada kebangkitan dan kemunculan atlet-atlet Muay negara.

Walaupun ketinggalan dua generasi akibat COVID-19 yang telah membataskan aktiviti sukan ini sejak 2020, namun sesi ‘pemanas badan’ ini telah menjadi titik tolak kepada pembangunan semula atlet khasnya dalam menghadapi Sukan SEA tidak lama lagi serta beberapa kejohanan peringkat dunia akhir tahun nanti.

Saya teringat dua bulan lepas apabila Dato’ Shahnaz dan beberapa rakannya mengunjungi YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, Exco Belia dan Sukan Negeri bagi menyampaikan hasrat besar penganjuran kejohanan ini. Tanpa banyak soal, YB Ustaz terus mengarahkan En Anas Karimi, Pegawai Khas beliau untuk menyambut pelawaan ini.

Kata YB Ustaz, Kelantan telah lama menunggu peluang keemasan sebegini. Dan ia sudah pasti akan memberikan pengalaman yang amat berharga kepada Kelantan dalam persediaan menjadi tuan rumah kepada SUKMA tidak lama lagi. 

Kerjasama erat PMBK dan Dewan Putik

Pegawai-pegawai Majlis Sukan Negeri (MSN) yang datang dari seluruh pelosok negara, termasuklah MSN Kelantan sendiri tidak putus memuji Dewan Putik. Katanya, ‘Putik ni lengkap doh, ada belako aircond, sistem pencahayaan, luas, pentas cantik, kerusi banyak, tandas banyak, terimo kasih lah weh Putik, puas hati’

Ia turut dikongsi bersama dengan majoriti atlet dan kontinjen luar yang memuji dewan ini bagus dan selesa.

Saya gembira mendengarnya, apatah lagi hadirnya anak anak muda daripada pelbagai bangsa, agama dan latar belakang ideologi politik ini ke dewan milik Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kelantan. Mereka kelihatan asyik melihat gambar-gambar di lobi PUTIK, dengan sejarah lama PAS Kelantan. Ada gambar semua Pesuruhjaya PAS Negeri, gambar Setiausaha Perhubungan, Ketua Pemuda, Muslimat dan Dewan Ulama merentasi zaman sejak kemerdekaan negara hingga kini, terpapar megah di dinding lobi utama. 

Secara tidak langsung, mereka tahu dewan besar yang mereka kagumi ini, dibangunkan dengan jasa bakti, keringat, susah payah pimpinan pimpinan lama yang terlakar di potret tersebut.

Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sendiri yang menjadikan sukan Muaythai sebagai sukan korporat mereka, hadir menghulurkan bantuan sepanjang kejohanan. Tajaan makanan atlet, petugas, pengadil, juri dan delegasi luar telah menceriakan semua. Apatah lagi dengan bantuan anak-anak syarikat seperti AKSB yang menghantar beberapa buah lori tangki bagi memastikan bekalan air untuk kegunaan kejohanan sentiasa cukup. Terima kasih PMBK dan AKSB

Sedia anjur SUKMA

Terima kasih yang tidak terhingga juga diucap kepada Majlis Sukan Negeri Kelantan yang menjadi tulang belakang kepada penganjuran kejohanan kebangsaan ini.

Kesediaan Persatuan Muaythai Malaysia memberi peluang untuk Kelantan menganjurkan kejohanan ini telah membuka peluang kerjasama yang tidak sedikit dalam kalangan penggiat utama sukan Muay negeri. Tokoh seperti En Azman Ghazali, Abe Jaa, Abi Bachok, Mat Ali, Abang Kamil, Hafiz Loy, Emi Botok dan banyak lagi nama yang tidak mampu saya catatkan semuanya di sini telah bersatu bergabung idea, tenaga, masa dan seluruh kudrat menjayakan kejohanan empat hari ini. Terima kasih dan tahniah.

Apatah lagi para sukarelawan yang bersengkang mata, berlari ke sana dan ke mari, bekerja tanpa rehat dan terlepas waktu makan, yang telah seminggu tidak pulang ke rumah demi menjayakan kejohanan ini, di bawah kepimpinan Mohd Ali Akbar selaku Pengarah Kejohanan, terima kasih diucapkan. 

Barisan pengadil dan juri yang bijaksana serta profesional, pengurusan teknikal cekap berkait hal kejohanan oleh tim PMM seperti Dr John, Boy, Saiful, Tg Ruzaini, Abang Mus, Pak Yob, Che Lee dan lain-lain di bawah kepimpinan Dato’ Shahnaz telah melicinkan semua urusan kejohanan. Terima kasih daun keladi, ada rezeki beri Kelantan peluang lagi. 

Dan anugerah yang disampaikan kepada wakil kerajaan negeri yang hadir merasmikan pembukaan kejohanan iaitu YB Dato’ Ustaz Haji Abdullah Ya’kub, dinamakan Khan14 adalah antara yang pertama di negara ini sebagai pengiktirafan PMM kepada Kelantan. Turut menerima anugerah adalah Abe Jaa sendiri sebagai promoter antarabangsa muaythai Kelantan yang mana di Malaysia hanya ada dua orang yang memegang ‘title’ berkenaan. 

Insya-Allah pengalaman bermakna ini mampu memberikan ilmu dan pengajaran berguna dalam mempersiapkan Kelantan ke arah penganjuran SUKMA khasnya bagi sukan Muaythai.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Pengarah Teknikal 
Kejohanan Sukan Muaythai Elit Junior dan Senior Kebangsaan 2022 – HARAKAHDAILY 21/3/2022

- Advertisement -