Ada pihak sabotaj usaha wujud penyatuan ummah

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
PAS menyedari rundingan bagi membentuk penyatuan ummah antara parti itu dengan Umno dianggap disabotaj oleh pihak yang kalah pada pilihan raya lepas.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rundingan tersebut tetap diteruskan biarpun sambutan agak dingin daripada Umno.

Menurutnya penyatuan melalui Muafakat Nasional (MN) merupakan satu cara yang sukar dilaksanakan sekiranya mendapat tentangan ke arah penyatuan terbabit.

- Advertisement -

“Itu antara faktor yang ditimbulkan pihak yang lantang bercakap isu tersebut merupakan mereka yang kalah dalam Pilihan Raya Umum sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Jom Kembali ke Sekolah di Pasar raya Mydin Kubang Kerian di sini hari ini. Hadir sama Adun Demit, Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Adun Salor, Saiful Adli Abu Bakar.

Presiden Umno, Dato’ Seri Zahid Hamid sebelum ini memberi bayangan parti itu tidak akan menilai semula hubungannya bersama PAS. MN dibentuk selepas Umno hilang kuasa pada pilihan raya umum (PRU) 2018, namun baru-baru ini Umno Kelantan memutus hubungan dengan PAS.

Menurut Tuan Ibrahim sepatutnya setiap parti politik perlu merintis jalan yang boleh menjadikan contoh kepada rakyat untuk membolehkan umat Islam disatukan.

“Sepatutnya orang Melayu dan umat Islam perlu bersatu, siapa yang hendak buat penyatuan sama ada parti politik atau NGO. Kalau parti politik tidak boleh tunjuk model baik, tidak mungkin penyatuan ummah yang rakyat kita hendaki akan berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2022

- Advertisement -