PRN Johor: Beri peluang PN perintah, perbetul keadaan

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan para pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya menunaikan tanggungjawab dengan mengundi Perikatan Nasional untuk membuat perubahan di negeri ini.

- Advertisement -

Katanya, para pengundi perlu memberi peluang kepada Perikatan Nasional memerintah supaya dapat membetulkan keadaan yang berlaku di dalam masyarakat.

“Beri peluang kepada Perikatan Nasional untuk kami memerintah Negeri Johor supaya kami dapat membetulkan keadaan yang berlaku di dalam masyarakat,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosial beliau.

Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional turut memberi pesanan itu pada Majlis Ceramah Umum PRN Johor Dun Pulai Sebatang di Bilik Gerakan Dun Pulai Sebatang, Pontian kelmarin.

Beliau berkata, rakyat memiliki tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang benar dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab.

“Hari ini kita melihat penyakit rasuah dan salah laku berleluasa dalam masyarakat.

“Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan petunjuk kepada kita bahawa Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.

“Penyakit rasuah ini harus kita hapuskan daripada terus merebak ke dalam masyarakat,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, ujar beliau PAS dan Perikatan Nasional membawakan calon-calon bagi PRN Johor yang telah bersumpah bagi melawan penyakit rasuah itu.

“Pesanan saya buat pengundi PRN Johor, tunaikan tanggungjawab anda dengan mengundi Perikatan Nasional untuk membuat perubahan di negeri Johor,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Perikatan Nasional bertanding di semua 56 kawasan DUN melibatkan 33 calon daripada Bersatu, PAS (15) dan Gerakan (lapan).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 6/3/2022

- Advertisement -