
Oleh NORZANA RAZALY
TUMPAT: Kesedaran tentang isu-isu kepenggunaan perlu disebar luas dalam masyarakat dalam usaha menangani kos sara hidup yang membebankan sekarang.
Ahli Parlimen Tumpat Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, peranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu didedah kepada masyarakat luar bandar berkaitan isu harga barang keperluan.
Katanya bagi merealisasikan objektif tersebut, Sekyen Pendayaupayaan Pengguna KPDNHEP Kelantan menganjurkan Program Pengguna Bijak dengan kerjasama Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Bendang Kerian semalam.
“Program seperti ini mesti diadakan supaya masyarakat celik dan cakna hak sebagai pengguna,” katanya pada majlis pengagihan 30 bungkusan makanan sumbangan Food Bank KPDNHEP kepada asnaf.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Kebangsaan berkata, program mendekatkan masyarakat dengan agensi kerajaan hendaklah sentiasa diadakan demi kepentingan rakyat.
Taklimat dan Penerangan Kepenggunaan pada program berkenaan disampaikan Ketua Seksyen Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, KPDNHEP Kelantan, Syukri Yaacob.
Program tersebut dimeriahkan pertandingan memasak, melukis dan memancing serta cabutan bertuah. Turut hadir Adun Kelaboran Mohd Adanan Hassan dan Pengerusi KRT Bendang Kerian, Mustafa Ibrahim. – HARAKAHDAILY 6/3/2022











