Kak Lah pinjam RM100,000 demi bantu rakyat

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkongsi pengalamannya pernah membuat pinjaman peribadi sebanyak RM100,000 dan memperuntukkan 85 peratus daripada gajinya untuk membantu rakyat yang memerlukan.

Menurutnya, semasa menjadi Ahli Parlimen dalam blok pembangkang, beliau dan rakan Ahli Parlimen pembangkang lain tidak menerima sedikitpun wang peruntukan daripada kerajaan ketika itu.

Justeru, beliau terpaksa berdepan dengan kekangan peruntukan untuk disalur kepada rakyat yang memerlukan.

“Masa itu kita pembangkang, daripada 2000 hingga 2006 saya merupakan senator daripada pembangkang. Kemudian, berterusan daripada 2008 sehingga 2019 sebagai pembangkang,

“Ketika itu, satu sen pun peruntukan tidak diberikan kepada ahli parlimen, kita hanya dapat elaun gaji kita, itu sahaja. Daripada kerajaan persekutuan masa itu, semua ahli parlimen pembangkang, satu ringgit pun tidak dibagi peruntukan,” kongsinya.

Beliau berkongsi pengalaman tersebut dalam Program Diari Inspirasi anjuran Inspirasi Muslim yang ditayangkan secara langsung melalui Facebook Live pada Selasa.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff

Menurut Siti Zailah atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Lah, apabila beliau turun padang melihat kesusahan rakyat, pelbagai permohonan bantuan diterima pihaknya.

Katanya, antara bantuan yang sering diminta oleh rakyat adalah peruntukan untuk atap zink yang bocor, yuran sekolah, bantuan kelengkapan sekolah, keperluan kerusi roda dan banyak lagi.

Justeru, atas rasa tanggungjawab untuk memenuhi keperluan dan permintaan rakyatnya, Siti Zailah tekad memperuntukkan 85 peratus daripada gaji yang diterimanya untuk memenuhi keperluan rakyat.

“85 peratus daripada gaji saya, saya bahagikan untuk rakyat, beri kepada rakyat. Hanya 15 peratus saya guna untuk diri sendiri.

“Sebab itu saya berbelas tahun jadi wakil rakyat, satu gelang pun saya tiada, satu cincin pun saya tiada. Saya korban gaji saya untuk rakyat,” kongsinya.

Menurutnya lagi, sebagai seorang pemimpin, beliau tidak berputus asa dengan tugasnya kerana berpegang teguh bahawa perjuangan yang dibawa adalah kerana Allah SWT, bukan kerana manusia.

Kongsinya lagi, beliau pernah membuat pinjaman peribadi berjumlah RM100,000 demi memenuhi keperluan dan tuntutan rakyat.

“Ada suatu ketika, disebabkan terlalu banyak orang minta bantuan, ketika ini menghampiri Ramadhan, saya buntu bagaimana untuk terus membantu rakyat.

“Ketika itu, saya berjumpa dengan seorang rakan yang bekerja dengan Bank Islam, saya mohon untuk buat pinjaman peribadi berjumlah RM100,000.

“Dia tanya untuk apa Kak Lah hendak buat pinjaman? Hendak beli tanah ke? Saya jawab, ‘Tidak, saya tidak beli harta. Duit ini saya hendak guna untuk bantu rakyat miskin.

“Terkejut pegawai bank, sebab tiada orang buat begitu, tetapi saya kata, ‘Tolonglah bantu saya, saya bayar sikit-sikit bulanan,” kongsinya.

Kata Siti Zailah lagi, beliau mengambil tempoh sepanjang 10 tahun untuk membayar kembali wang pinjaman tersebut.

Katanya, menjadi seorang pemimpin bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya ia satu tanggungjawab yang akan disoal oleh Allah SWT kelak. – HARAKAHDAILY 18/2/2022

- Advertisement -