Muslimat Perlis jalin kerjasama Polis negeri

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Dewan Muslimat PAS Perlis memperluaskan jaringan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan bagi meningkatkan hubungan dua hala.

Ketuanya, Nor Shahirah Mat Salleh berkata, agenda terbaru pihaknya menjalin kerjasama dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

Katanya Ketua Polis Negeri, Dato’ Surina Saad serta pegawai polis menghormati gaya kepimpinan PAS yang mengutamakan kebajikan masyarakat di semua peringkat tanpa mengira parti.

- Advertisement -

“PDRM juga menzahirkan ucapan penghargaan kerana hampir setiap tahun kami mengadakan lawatan ke Ibupejabat Polis Kontijen dan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) sempena sambutan Hari Polis,” katanya di sini hari ini.

Hadir sama pada kunjungan itu Setiausaha Dewan Muslimat PAS Perlis Noor Hafiza Mansor dan Ketua Penerangan Husna Hashim.

Nor Shahirah juga berkata, kunjungan mahabbah tersebut sebagai kesinambungan Dewan Muslimat Perlis bertemu mata bersama ketua-ketua jabatan dalam kalangan wanita di negeri itu.

“Jika sebelum ini kita mengadakan kunjungan bersama Pengarah Belia dan Sukan Negeri bagi melihat ruang-ruang kerjasama yang boleh dijalin.

“Menerusi perjumpaan sebegini, kita boleh merancang program bersama khasnya untuk kaum wanita di Perlis,” katanya.

Kata beliau juga pihaknya turut menyatakan solidariti dan sokongan kepada pegawai dan anggota polis yang bertugas sebagai barisan hadapan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Menurutnya mereka sanggup meninggalkan keluarga demi menjaga keselamatan rakyat di negara ini. – HARAKAHDAILY 10/2/2022

- Advertisement -