
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
MACHANG: Kerajaan negeri mengemukakan permohonan untuk membina jalan kampung di seluruh jajahan di Kelantan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Dato’ Sr Azami Mohd Nor berkata, sebarang permohonan perlu dikemukakan melalui wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun).
Menurut beliau, pembinaan jalan kampung bertujuan untuk memperbanyakkan kemudahan rakyat serta menyediakan rangkaian perhubungan yang diperlukan di kawasan luar bandar.
“Ada proses-proses tertentu, penduduk kena buat permohonan melalui wakil rakyat, malah ada juga yang aju terus kepada KPLB.
“Permohonan tersebut masih di peringkat penilaian KPLB dan kita kena ingat minta itu tidak semua KPLB akan lulus dengan jumlah yang diangkat, kalau lulus separuh itu pun alhamdulillah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pelepasan lori tangki air operator luar di Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong di sini pagi tadi.
Hadir sama timbalan Exco Abdul Rahman Yunus; Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd, Dato’ Ir Azuhan Mohamed, Adun Limbongan Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah dan Adun Bunut Payong Dato’ Dr Ramli Mamat. – HARAKAHDAILY 10/2/2022











