
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
MACHANG: Kementerian Pembangunan Luar bandar (KPLB) melulus permohonan Kelantan untuk membina sebuah lagi Loji Rawatan Air (LRA) baru di Kampung Tok Jaafar dekat sini.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Dato’ Sr Azami Mohd Nor berkata, projek yang dijangka bermula pertengahan tahun ini bernilai RM70 juta.
Katanya, loji rawatan tersebut merupakan projek kedua selepas pembinaan LRA Tualang Baru, Kuala Krai yang diserahkan kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
“Untuk tahun ini kita diberi kelulusan untuk bina sebuah loji baru di Tok Jaafar kerana KPLB menjelaskan setiap tahun Kelantan diperuntuk satu projek.
“Pada tahun lepas siap dibina LRA di Kampung Tualang Baru di bawah KPLB dan telah diserah untuk diurus AKSB,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis pelepasan lori tangki air operator luar di Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong di sini hari ini.
Hadir sama timbalannya Abdul Rahman Yunus; Pengurus Besar AKSB Dato’ Ir Azuhan Mohamed, Adun Limbongan Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah dan Adun Bunut Payong Dato’ Dr Ramli Mamat.
Azami juga berkata, kerajaan negeri hanya menyediakan tapak loji manakala KPLB membiayai dana untuk pembinaan LRA.
Menurutnya juga kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan melalui usaha AKSB mengenal pasti tapak yang sesuai bagi pembinaan LRA baru.
“LRA Tok Jaafar kini dalam proses reka bentuk loji dan sebagainya, dan kemungkinan pertengahan tahun ini projek di tapak bermula,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/2/2022











