Kerajaan negeri bantu belia bina kerjaya

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui Urusetia Belia, Sukan dan NGO (U-Bes) melaksanakan pelbagai program bagi membantu golongan belia mendapat peluang pekerjaan.

Antaranya mewujudkan Stesen Mek Awey di beberapa lokasi strategik di Kota Bharu, Tumpat dan Machang bagi memberi peluang anak-anak muda terbabit dengan program keusahawanan.

Selain itu menyediakan kursus kepakaran mengunting rambut lelaki dan perempuan yang dikendalikan usahawan dalam bidang berkenaan.

- Advertisement -

Dan hari ini seramai 47 peserta mengikuti program Penempatan Pekerjaan Industri 2022 selama enam bulan di Kuala Lumpur.

Mereka bertolak ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas sewa khas, di mana acara pelepasan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Wan Roslan Wan Hamat di perkarangan Plaza Kota Darul Naim.

Pengarah U-Bes Nasruddin Mahmood Muhaidin berkata, program itu ditanggung biaya penganjur termasuk penginapan dan pengangkutan.

Katanya, pada program tersebut peserta didedahkan pelbagai kemahiran industri dan pembangunan insan.

“Peserta juga bakal mendapat bayaran elaun sepanjang kursus, selain jaminan pekerjaan. Projek ini usaha sama Urus Setia Belia dan Sukan Kelantan dengan Insan Inisiatif Sdn Bhd,” katanya di sini.

Oleh itu katanya belia dan beliawanis yang berminat untuk mengikuti program ini boleh menghubungi pihak U-BeS untuk siri akan datang.

Sebelum ini taklimat mengenai program berkenaan diadakan di beberapa lokasi termasuk Pusat Tarbiah Chetok Pasir Mas, di Tumpat dan Kuala Krai. – HARAKAHDAILY 10/2/2022

- Advertisement -