Guru KAFA sebagai ‘murabbi’- Menteri

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA NERUS: Peranan Guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) terutamanya di negeri Terengganu sebagai ‘murabbi ummah’ tidak dapat dinafikan lagi.

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, peranan guru KAFA adalah mendidik kanak-kanak pada peringkat awal lagi bagi memastikan generasi masa depan negara mempunyai asas agama yang kukuh.

- Advertisement -

Katanya, ini sangat signifi dengan objektif pelaksanaan KAFA supaya kanak-kanak Islam berumur tujuh hingga 12 tahun di negara ini dapat menguasai asas ilmu akidah, ibadah, akhlak, fardhu ain dan lain-lain asas agama dengan baik.

“Hari ini, kita berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk gejala sosial yang amat membimbangkan.

“Oleh itu, kita semua perlu memperkuatkan asas agama kepada masyarakat kita dan di peringkat JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), kita melancarkan program Bulan Solat Peringkat Kebangsaan.

“Kita gerakkan kempen kesedaran bersolat kepada masyarakat. Alhamdulillah, negeri Terengganu juga telah melaksanakan program penghayatan solat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Timbalan Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Sirajuddin Suhaimee, Pesuruhjaya Agama JHEAT, M. Rozi Bidin dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Faris Abd Razak.

Selain itu, kata beliau, pihak JAKIM juga meletakkan keutamaan bagi menyantuni golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) khususnya dalam program KAFA seperti pembukaan KAFA Murid Berkeperluan Khas (MBK) bagi murid kurang upaya.

Menurutnya, kini terdapat 43 orang Guru KAFA tulen yang telah dipilih sebagai guru KAFA MBK sejak 2018.

“Terdapat empat buah negeri yang telah membuka KAFA MBK secara rasmi pada tahun 2020 iaitu Johor, Sabah, Perlis dan Wilayah Persekutuan Putrajaya,” jelasnya.

Manakala, katanya bermula Januari 2022 juga guru KAFA wanita yang bersalin layak diberikan cuti bersalin sebanyak 60 hari dengan dibayar elaun.

Ini katanya, usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan guru-guru KAFA sepanjang kontrak berkuatkuasa dengan Agensi Pelaksana KAFA Negeri. – HARAKAHDAILY 10/2/2022

- Advertisement -