Umar membetulkan Abu Musa al-Asy’ari

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 30)

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK


ABU Musa al-Asy’ari merotan seorang lelaki yang disabitkan kesalahan minum arak. Dia menambah hukuman, selain hukuman yang telah ditetapkan syarak dengan dicukur rambut dan dicontengkan hitam wajahnya.

Dia meneriak di hadapan orang ramai supaya tidak duduk dengan lelaki itu dan tidak makan sekali.

- Advertisement -

Lelaki itu mencari Umar al-Khattab, lalu mengadu tentang pegawainya yang menghukum secara berlebihan.

Umar memberikan 200 dirham sebagai pampasan daripada apa yang menimpanya dan untuk menjadikan dia redha.

Umar menulis kepada pegawainya:

لئن عدت لأسودن وجهك ولأطوفن بك في الناس

“Demi sesungguhnya! Jika kamu kembali (buat seperti itu), aku akan hitamkan wajahmu, dan aku akan bawa kamu keliling di depan orang ramai.”

Umar memerintahkan supaya dia kembali dan menyeru orangramai supaya mereka duduk dan makan sekali dengan lelaki itu. (Al-Musawah fil-Islam, Dr Ali Abdul Wahid Wafi ms 38)

Beberapa pengajaran:

1) Umar tetap menegur para sahabat walaupun mereka adalah orang yang hebat di sisi Nabi SAW.

2) Abu Musa al-Asy’ari melaksanakan hukuman syarak terhadap pesalah. Cuma dia menambah hukuman yang mungkin dirasakan sesuai untuk lelaki tersebut. Perkara ini dibincang di bawah tajuk siasah syariyyah.

3) Lelaki itu tetap mencari Umar kerana dia tahu Umar sememangnya pemimpin yang sangat adil.

4) Sifat seorang pemimpin, bukan sahaja membetulkan pegawainya, malah membuatkan pesalah yang tersilap dihukum diberikan pampasan yang wajar dan sesuai. – HARAKAHDAILY 10/2/2022

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu

- Advertisement -