Tun Ahmad Sarji meninggal dunia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid telah kembali ke rahmatullah pada jam 1.40 pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan melalui kenyataan ringkas daripada pihak keluarga Tun Ahmad Sarji.

“Bahawa dengan sedih dan dukacitanya dimaklumkan ayahanda kami Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid telah kembali ke Rahmatullah pada jam 1.40 pagi , 28 Ogos bersamaan 19 Muharram 1443.

“Jenazah Allahyarham masih berada di hospital dan urusan seterusnya akan dimaklumkan kelak,” menurut kenyataan itu.

- Advertisement -

Pada 9 Ogos lalu, media melaporkan Ariff Tuah Ahmad Sarji memaklumkan bapanya yang menerima rawatan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras.

Ahmad Sarji, 82, merupakan Ketua Setiausaha Negara dari 1990 hingga 1996 ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau dilantik semula sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 4 Februari 2019 sehingga kini.

Allahyarham yang dilahirkan pada 16 Sept 1938 adalah pengasas dan Pengerusi IKIM pertama yang dilantik pada 1992, sehingga disandang pula oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 1 Sept 2015.

Allahyarham pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1420 kerana jasa-jasanya dalam pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.

Beberapa universiti juga turut memberi ijazah kehormat kepada Allahyarham seperti Ijazah Kehormat Kedoktoran Sains (Pengurusan) oleh Universiti Utara Malaysia; Kedoktoran dalam Pengurusan Perniagaan dari Universiti Nottingham-Trent; Doktor Persuratan dari Universiti Malaysia Sarawak; dan Kedoktoran Pengurusan dari Universiti Islam Antarabangsa. – HARAKAHDAILY 28/8/2021

- Advertisement -