
KANGAR: Beberapa projek di bawah inisiatif Pelan Tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dirancang dilaksanakan di Perlis bermula tahun 2020 sehingga 2022.
Exco Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia; Sains, Teknologi dan Inovasi; dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Perlis, Rozieana Ahmad berkata, langkah tersebut bagi memastikan penyediaan liputan internet yang berkualiti dapat dinikmati semua rakyat.
Katanya, kerajaan negeri melalui One Stop Centre (OSC), Majlis Perbandaran Kangar membantu menyelaraskan kelulusan projek dengan pelbagai agensi teknikal.
“Antara lain kita membina enam struktur menara baharu, menaiktaraf 198 alat pemancar sedia ada dan pelaksanaan gentian fiber optik di 7,331 premis.
“Sehingga 30 Jun lepas sebanyak lima menara baharu dibina, 189 alat pemancar sedia ada dinaiktaraf dan sejumlah 4,890 premis dilengkapi gentian fiber optik,” katanya ketika menjawab soalan Mohd Shukri Ramli (PAS-Sanglang) pada persidangan Dun Perlis, semalam.
JENDELA program di bawah kerajaan pusat berperanan membangun pelan infrastruktur digital yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan rakyat.
Pelan tindakan itu sebagai landasan penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar menyeluruh dan berkualiti tinggi, serta mempersiapkan negara untuk peralihan kepada teknologi 5G secara mantap.
JENDELA dilaksanakan secara berfasa bermula tahun 2021 sehingga 2025. – HARAKAHDAILY 27/8/2021











