Mekanisme bantuan ketika ini terbukti lebih berkesan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Struktur dan mekanisme penyampaian bantuan disusun atur kerajaan negeri ternyata telah dapat menangani keperluan rakyat yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

Ketua Penerangan PAS Negeri Kedah, Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, sepanjang PKP 3.0 dari 1 hingga 28 Jun berjaya diharungi dengan baik sama ada dari sudut penyediaan barangan dan agihan kepada penduduk yang terputus bekalan.

- Advertisement -

Menurut beliau, set barangan yang disediakan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) sentiasa dipantau dan jika berkurangan akan ditambah, selain bantuan tambahan daripada ADUN, Ahli Parlimen dan NGO yang turut membantu. 

Jelas beliau, semua bantuan dipusatkan menerusi PKOB dan maklumat yang diselaraskan di peringkat PKOB dapat mengurangkan risiko keciciran dan pertindanan bantuan serta terjamin sampai kepada mereka yang memerlukan. 

“Penghulu, JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung), Pusat Khidmat DUN adalah agensi yang dekat dengan rakyat dan sentiasa menjadi ‘mata dan telinga’ untuk mengambil maklumat mereka yang berkeperluan kepada PKOB. 

“Di samping bantuan PKOB, ADUN dan NGO, Zakat (Lembaga Zakat Negeri Kedah) juga menyediakan barangan bantuan dan seluruh masjid di negeri Kedah. Setiap qaryah ada masjid lebih dekat untuk penduduk terkesan dapatkan bantuan.

“Kita melihat jaringan yang ada ini serta kaedah yang dilaksanakan ini telah terbukti berjaya dan keberkesanan ini diteruskan dan diperbaiki. Berbanding untuk kita menerima kaedah yang digunapakai yang belum terbukti.

“Bahkan ada ADUN PKR negeri lain yang juga melihat sisi negatif kempen bendera putih yang mereka buat,” ujar beliau yang juga ADUN Sungai Limau merujuk sokongan terkini ADUN pembangkang Kedah kepada kempen itu, kelmarin.

Pakatan 13 ADUN dari PKR, DAP, PAN dan PEJUANG itu dilihat menyatakan sokongan tersebut sebagai tindak balas terhadap laporan kononnya Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor tidak mengiktiraf kempen tersebut.

Bagaimanapun ketika sama, terdapat ADUN Pakatan Harapan di negeri lain yang mulai mengeluh dan mempertikaikan kempen tersebut kerana didakwa menjadi kesempatan pihak tertentu mendapatkan bantuan secara tidak wajar.

Kebanyakan negeri menyalurkan bantuan kepada penduduk yang disahkan layak atau terjejas menerusi struktur dan mekanisme kerajaan dan agensi terbabit secara teratur sejak PKP diisytiharkan Mac tahun lalu lagi.

Termasuk di negeri ini yang secara khusus menggerakkan usaha tersebut menerusi PKOB diketuai Pejabat Daerah dengan kolaborasi Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam, Ikatan Relawan Rakyat dan lain-lain lagi.

Menurut Ustaz Azam lagi, Pusat Khidmat Wakil Rakyat kerajaan di negeri ini sepanjang PKP telah menjadi tenaga sokongan PKOB dalam menyediakan kenderaan dan sukarelawan untuk menyampaikan barangan kepada penduduk. 

“Di samping itu, kita juga akan menerima aduan dan menyerahkan senarai pengadu untuk menerima bantuan daripada PKOB seperti yang telah dilaksanakan juga oleh Penghulu, JPKK dan pimpinan peringkat kampung. 

“Pusat Khidmat juga bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak yang berminat untuk membantu dan menghulurkan bantuan kepada penduduk terlibat melalui PKOB dalam urusan penyediaan bekalan dan juga penghantaran dengan mematuhi kesemua aspek penjagaan kesihatan dan SOP yang ditetapkan.

“Sekretariat Wakil Rakyat PAS Kedah menyeru semua pihak, sama ada NGO, badan korporat atau perseorangan yang berkemampuan supaya menghulurkan bakul makanan kepada PKOB. 

“Saya percaya dengan langkah tersebut, lebih ramai kalangan rakyat terkesan dengan PKP akan mendapat manfaat,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 7/7/2021

- Advertisement -