
SEBERANG PERAK: Pihak pengurusan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di sini mengambil tindakan segera bagi mengatasi serangan ulat pengorek batang padi.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, serangan ulat itu kalau tidak dikawal segera akan merugikan petani dan industri pengeluaran beras negara.
“Kita berharap pegawai-pegawai pertanian, IADA dan sebagainya dapat memainkan peranan sebaiknya.
“Petani juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) amalan pertanian supaya kawalan penyakit dapat dibuat bermula awal penanaman padi lagi,” katanya selepas meninjau lokasi terbabit semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Razman Zakaria, Pengerusi Industri Padi dan Beras Negara Azman Mahmood, Pengarah Jabatan Pertanian Perak Norsiyenti Othman.
Selain itu Pengarah IADA Seberang Perak Mohd Shafie Mohd Sidik, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Perak Mohd Faizal Mohd Jakir, Pengarah Jabatan Perikanan Zaki Mokri dan Timbalan Pengurus Besar Wilayah FELCRA Bhd Mohd Fairus Mohamad Yusuf.
Che Abdullah juga berkata, hampir semua petak kawasan A, B, C, D serta F mengalami serangan, di mana kadar kerosakan agak tinggi.
Razman pula berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan bagi membantu pesawah yang terjejas ekoran serangan penyakit ulat padi.
Katanya Jabatan Pertanian akan membuat penilaian berdasarkan kerosakan padi akibat serangan ulat tersebut.
“Jabatan Pertanian akan membuat pengiraan secara terperinci untuk menampung kerugian yang dialami pesawah bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan,” katanya.
Manakala dalam perkembangan berkaitan MAFI menjalankan projek perintis penanaman padi beras wangi bersama FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd yang dimulakan di Seberang Perak.
Inisiatif tersebut bagi mengurangkan import beras jenis tersebut di samping meningkatkan pendapatan petani.
Difahamkan nilai jualan padi beras wangi lebih RM300 satu tan metrik berbanding padi biasa. – HARAKAHDAILY 7/7/2021











