
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Lagi Pemuda PAS tampil membuat laporan polis terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dianggap mengganggu sentiviti dan mencabar aqidah umat Islam.
Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, semalam.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid berkata, anak-anak muda Islam yang mewakili sebahagian besar pengguna media sosial sangat terkilan dengan kenyataan biadab pemimpin veteran DAP terbabit.
“Kami sangat sayangkan agama Islam, negara dan menghormati Islam sebagai agama rasmi persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya selepas membuat laporan polis terbabit.
Kit Siang pada catatannya di media sosialnya baru-baru ini cuba mengaitkan ‘Kerajaan Allah’ sebagai mengulas tulisan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hanya Allah yang boleh menamatkan Covid-19.
Berikutan pemimpin DAP terbabit cuba mengaitkan kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani pandemik Covid-19 yang melanda negara sekarang.
Nurul Amin berkata, Kit Siang perlu membuat permohonan maaf secara terbuka di atas kebiadaban dan keceluparan seperti yang disebut dalam kenyataannya.
“Rakyat Malaysia khususnya anak muda digesa menolak DAP dan parti-parti yang sekutu dengannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Malah pemimpin dan ahli DAP yang beragama Islam diajak turut membantah sebarang bentuk provokasi dan kebiadapan terhadap Islam yang dilakukan,” katanya.
Menurutnya juga pemimpin utama DAP sejak dahulu sehingga sekarang secara terang-terangan menunjukkan sikap biadab terhadap agama Islam dan negara,” tambah beliau.
Justeru itu Nurul Amin berharap pihak polis membuat siasatan ke atas pemimpin DAP berkenaan termasuk mengkaji semula taraf kerakyatannya. – HARAKAHDAILY 7/7/2021











