RM1.41 juta bantu petani, nelayan terjejas PKP3.0

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.41 juta bagi membantu petani, nelayan dan penternak yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0).

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, dana tersebut disalurkan melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) sebagai urusetia.

- Advertisement -

Menurut beliau, pihaknya juga bekerjasama dengan Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perikanan bagi mengenal pasti petani, nelayan dan penternak terlibat.

“Apabila PKP berpanjangan menyebabkan kenaikan kos makanan haiwan yang terpaksa ditanggung. Begitu juga penternak ikan tidak dapat memasarkan hasil sehingga berlaku kejatuhan harga.

“Jadi kita bantu mereka, tahun ini kita peruntukan RM1.4 juta secara keseluruhan untuk ketiga-tiga jabatan bergantung kepada jumlah mereka yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian Bantuan Sejahtera Tani Covid-19 bagi 2021 di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Exco Kerajaan Negeri Abdul Azziz Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif PKPNK, Nik Fazul Fazlee Nik Othman.

Pada program itu Tuan Mohd Saripudin menyampaikan cek bantuan kepada wakil-wakil rakyat dan wakil Jabatan Pertanian Kelantan.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) kerajaan negeri turut memperuntukkan jumlah dan program sama bagi mengurangkan beban dan kesan dihadapi golongan terbabit.

Usaha tersebut diselaraskan melalui jabatan berkaitan termasuk Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perikanan bagi memastikan rantaian bekalan makanan kepada rakyat terus terjamin.

“Hari ini kita agih kepada Jabatan Pertanian Kelantan sebanyak RM50,000 dan Jabatan Perikanan Kelantan sebanyak RM900,000 untuk memberi input kepada sektor perikanan, akuakultur dan nelayan,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 5/7/2021

- Advertisement -