Usaha martabat Islam secara komprehensif

Dasar Manhaj Rabbani praktikal, mudah difahami

- Advertisement -

PADA 25 Januari 2021, YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah memperkenalkan Dasar Manhaj Rabbani sebagai dasar pentadbiran Islam berpaksikan tiga ciri utama iaitu Thaqafah (keilmuan), Ruhaniyyah (kerohanian) dan Da’wah (aktivisme).

Dasar ini adalah satu konsep yang jelas, mudah difahami dan dekat dengan masyarakat yang meliputi semua pihak lantas mampu diterjemahkan sama ada oleh individu, komuniti, organisasi, mahupun negara. Justeru, GAMIS akan terus menyokong dan menyambut baik dasar kerajaan ini dalam usaha mendaulatkan syiar Islam di Malaysia. Jika dasar ini dapat diamalkan dalam pentadbiran sepenuhnya maka masalah berkaitan integriti dan kredibiliti pekerja mahupun pemimpin tidak akan timbul. Ini kerana konsep Rabbani itu menuntut setiap individu berlaku benar dan jujur dalam kerjanya selari dengan kehendak Tuhan. 

- Advertisement -

Dasar Manhaj Rabbani ini menggambarkan bahawa Islam bukan sahaja menuntut umatnya untuk menunaikan solat dan membayar zakat sahaja akan tetapi Islam itu melengkapi segenap aspek kehidupan termasuklah ekonomi, sosial, pendidikan, perundangan, kekeluargaan dan pentadbiran selari dengan prinsip Ubudiyyah kepada Tuhan dalam kehidupan.

GAMIS berpandangan bahawa dasar ini sangat baik dan perlu dilaksanakan oleh setiap lapisan masyarakat dalam menghadapi pergelutan dalam era pandemik COVID-19 yang melanda sekarang ini serta isu-isu lain melibatkan agama, ekonomi dan sosial untuk dijadikan panduan dan hala tuju yang jelas.

Akhir kata, GAMIS bersedia menjadi penggerak dasar ini di peringkat mahasiswa khususnya dan menyeru kepada seluruh pihak sama ada individu, masyarakat, mahupun organisasi agar menyambut usaha ini dan dilaksanakan mengikut kemampuan masing-masing supaya kita sama-sama dapat membina Malaysia menjadi sebuah negara contoh yang dibanggakan dengan konsep negara yang makmur dan memperoleh keampunan daripada Allah S.W.T.

“Memimpin Kebangkitan Mahasiswa”

AHMAD NAZIRUL MUBIN RUSLIM
Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan 
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) – HARAKAHDAILY 28/1/2021

- Advertisement -