Kuasai PdPR, dalami kemahiran IT

Program bual Bicara Harakah yang bersiaran secara langsung malam tadi.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Malaysia, Hashan Aladi Ahmad mencadangkan masjid, surau, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyediakan kemudahan internet di peringkat komuniti masing-masing.

Katanya, ia bertujuan untuk mereka yang tiada kemampuan jalur lebar ataupun akses kepada internet.

- Advertisement -

“Saya mengambil contoh yang keluar dalam berita, bagaimana seorang wakil rakyat di Kedah mengambil inisiatif menyediakan tempat anak-anak di kampung kawasannya, guru yang tiada akses internet boleh datang ke premis untuk menggunakan internet serta gadget yang disediakan secara percuma.

“Dengan berbuat demikian, mereka boleh menyertai proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) walaupun ada kekangan dari sudut kemudahan teknologi seperti kekurangan telefon di rumah dan desktop tidak ada internet,” jelasnya.

Sementara itu, kata Hashan, beliau percaya masjid, surau dan dewan orang ramai di peringkat kampung boleh mengambil inisiatif yang sama untuk digunakan.

“Sudah tentu tetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat supaya proses pembelajaran itu berlangsung dan membolehkan semua dapat mengikutinya walaupun pandemik sedang agak tinggi sekarang,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau juga percaya para guru mempunyai latihan dalam menghadapi cabaran PdPR.

Menurutnya, ia disokong menerusi Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) dan latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang berjalan secara berterusan.

Bahkan sebelum ini, guru-guru pernah dibekalkan dengan tablet dan juga telefon ‘Yes‘ .

“Guru-guru ini sudah pun mendapat latihan berkaitan dengan kemahiran asas dalam bidang Teknologi Maklumat (IT),” ujarnya.

Tambahnya, bagaimana untuk mengendalikan PdPR secara atas talian ini dalam keadaan sekarang, mahu tidak mahu terpaksa menguasainya.

Jelas Hashan, keadaan pembelajaran di rumah sudah menjadi satu revolusi dalam bidang pendidikan di seluruh negara.

Sementara itu, beliau berpendapat isu pembelajaran di rumah kecoh dalam kalangan ibu bapa, tenaga pengajar, bukan sekadar di negara ini malah di Singapura juga bising, bagaimana yang bekerja untuk memastikan anak-anak mereka duduk depan gadget belajar.

“Kalau yang mahasiswa tidak ada masalah, para pelajar menengah atas mungkin barang kali kurang sikit masalahnya, ini yang sekolah rendah darjah 1 dan darjah 2 yang baru berkenalan dengan alam persekolahan cukup menjadi cabaran kepada guru-guru,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas berhubung pertanyaan bijak atau tidak PdPR ini dilaksanakan, beliau berkata dalam keadaan sekarang, inilah alternatif yang ada.

“Jadi pertamanya supaya menjadi lebih berkesan PdPR ini mahu tidak mahu perlu dikombinasikan dengan secara online dan juga offline supaya ada sedikit pengukuhan.

“Ada kerja-kerja pelajar yang dihantar ke sekolah, guru memberi bantuan nasihat, pengajaran atau tegurannya dalam bentuk hardcopy dan dikembalikan.

“Saya fikir ini berlangsung di kebanyakan sekolah kita, khususnya di luar bandar,” katanya sebagai panelis jemputan dalam program bual Bicara Harakah bertajuk Belajar Dari Rumah: Ramai Pelajar Ketinggalan?, di sini, malam tadi.

Program berkenaan dikendalikan oleh Hezry Yasin sebagai moderator dan turut menampilkan Ahli Lembaga Pengarah Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Dr. Mohd Fuad Mohd Salleh sebagai panelis jemputan. – HARAKAHDAILY 28/1/2021

- Advertisement -