Covid-19: PdP Pondok perlu suntikan digital

Ilustrasi sekadar hiasan.
- Advertisement -

INSTITUSI pondok merupakan salah sebuah institusi pendidikan formal yang tertua di negara kita. Sistem pendidikan yang bermula sejak abad ke-17 ini, menjadi medium pengajaran dan pembelajaran generasi awal terdahulu dalam menambah ilmu pengetahuan khususnya berkaitan dengan ilmu agama

Istilah pondok ini berasal daripada perkataan funduk bermaksud penginapan atau hotel di mana para pelajar yang datang belajar di pondok akan menginap di sebuah rumah kecil yang disediakan oleh Tok Guru atau dibina sendiri di atas tanah wakaf pondok tersebut.

- Advertisement -

Para pelajar yang menetap di pondok, mereka berdikari sendiri bagi tujuan menyediakan keperluan harian seperti makan dan minum. Tidak sekadar datang untuk belajar, para penuntut ilmu di pondok juga ada diajar bagaimana untuk beradab dan berinteraksi dengan tok-tok guru mereka.

Sistem pengajian di pondok disebut sebagai “sistem menadah”. Di mana para penuntut akan menadah ilmu secara bersemuka dengan tok guru menggunakan kitab-kitab yang ditentukan mengikut jadual harian yang ditetapkan. Para pelajar akan mencatat setiap bait penting syarahan Tuan Guru pada ruang kosong di dalam kitab atau di buku catatan dan syarahan tersebutlah akan dihafal dan diulang ketika mereka pulang mengajar atau berkhidmat di tempat masing-masing.

Apabila Covid-19 melanda negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sistem pendidikan negara bagaikan dilanda garuda. Pengajian di peringkat sekolah mahupun universiti, secara drastik beralih daripada pembelajaran secara bersemuka kepada pembelajaran secara atas talian.

Pembelajaran abad ke-21 berasaskan kepada digital yang digagaskan sebelum ini, secara tidak langsung dipraktikan di segenap peringkat dengan sendirinya. Bermula seawal tadika dan darjah satu, medium teknologi digunakan secara maksima bagi tujuan pembelajaran secara atas talian.

Walaupun gelombang digital ini meresap masuk dengan mendadak ke dalam sistem pendidikan di peringkat sekolah atau pun pengajian tinggi, tetapi ianya tidak berlaku di institusi pondok dalam negara.

Berdasarkan kajian ringkas yang dijalankan di beberapa buah pondok tradisional di negeri Kedah, pengajian pondok ditangguhkan sepanjang PKP dan pihak pondok tidak menyediakan pembelajaran secara atas talian sepanjang tempoh tersebut. Jika kita risaukan pelajar di sekolah tercicir dalam pengajian, bagaimana pula dengan pelajar yang tercicir dalam pengajian di peringkat pondok?

Walaupun mereka bukanlah golongan majoriti, tetapi keberadaan mereka dalam masyarakat perlu diberi perhatian. Walaupun pengajian pondok tidak dianggap sebagai sistem pendidikan utama negara, ianya tidak boleh dikesampingkan kerana pernah menyumbang kepada kebangkitan intelektual suatu ketika dan masih menjadi pilihan sebahagian ibu bapa dan pelajar pada masa kini.

Sehingga penghujung tahun 2020 dianggarkan seramai 4,037 orang pelajar pondok yang masih menuntut di 29 buah pondok di negeri Kedah. 2,707 orang adalah penuntut lelaki dan 1,330 adalah penuntut perempuan. 

Antara kelebihan pelajar pondok yang harus kita akui bersama adalah kemampuan mereka menguasai kitab Jawi lama yang agak sukar untuk difahami oleh generasi baharu pada masa kini. Generasi pondok sedia ada pada masa kini merupakan benteng terakhir yang ada dalam kita memastikan khazanah kitab-kitab Melayu klasik terus subur dan disebarkan ke dalam masyarakat.

Selari dengan perkembangan dunia berasaskan digital, ilmu pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara atas talian juga perlu diterapkan dalam pengajian pondok. 

Jika sebelum ini secara tradisi infak dan wakaf masyarakat kepada pondok dalam bentuk makanan, kitab dan sebagainya, ianya boleh dikembangkan kepada infak dan wakaf menyediakan kemudahan peralatan ICT serta rangkaian jalur lebar untuk tujuan pengajian secara atas talian di peringkat pondok.

Pengajian tertutup kepada para pelajar pondok boleh dijalankan melalui platform atas talian yang ada seperti Zoom, Webex, Google Classroom dan sebagainya. Manakala pengajian umum pula boleh dijalankan melalui Facebook live ataupun Youtube.

Literasi digital perlu diterapkan kepada pengajar dan pelajar pondok supaya mereka dapat memahami, menguasai dan menggunakan kemudahan ICT yang ada bagi tujuan kebaikan dan pengembangan ilmu yang ada di pondok mereka. 

Bagi tujuan pemerkasaan aplikasi digital di peringkat pondok ini, perlu inisiatif daripada pihak kerajaan, NGO dan perseorangan untuk membantu menyediakan kemudahan serta latihan kepada warga pondok yang sebahagiannya sudah bersedia untuk mempraktikan pembelajaran dalam dunia digital ini. Diyakini, sekiranya institusi pondok diberi ruang dan peluang, mereka juga mampu mempraktikan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) dalam sistem pengajian mereka. 

DR MOHD FAISAL MUSTAFFA
Pengarah,
Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan Pelajar Asnaf Kedah – HARAKAHDAILY 25/1/2021

- Advertisement -