SEPANG: Seramai 351 jemaah haji kendalian Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd (Andalusia) berangkat ke Tanah Suci, awal pagi ini dengan menaiki pesawat Saudia Airlines sebagai kumpulan pertama Andalusia bagi musim haji 1446H.
Penerbangan berlepas sekitar jam 6 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kumpulan ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan 570 jemaah yang akan diuruskan oleh Andalusia menerusi beberapa siri penerbangan yang dijadualkan.
Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, jemaah dalam kumpulan pertama ini terlebih dahulu akan menetap di Madinah, sebelum berangkat ke Mekah untuk menyempurnakan ibadah haji.
“Kumpulan ini istimewa kerana mereka akan berada di Madinah ketika suasananya masih belum sesak. Ini memberi peluang lebih luas untuk beribadah, termasuk memasuki raudhah dengan lebih tenang,” katanya ketika ditemui di Hotel Movenpick di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan Arab Saudi juga lazimnya memberikan layanan istimewa kepada jemaah Malaysia, sekali gus memberi kelebihan kepada jemaah Andalusia dari segi keselesaan dan akses.
Md Daud turut menyantuni dan mengiringi jemaah ketika sesi pendaftaran masuk di Kompleks Tabung Haji , Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, sebelum mereka dibawa ke lapangan terbang.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa semua perkhidmatan Andalusia tertakluk kepada pemantauan Lembaga Tabung Haji (TH) dan mematuhi garis panduan ketat yang ditetapkan.
“Kami terikat dengan sistem merit dan demerit yang ditetapkan oleh Tabung Haji. Jika prestasi kami tidak memuaskan, kami bukan sahaja dikenakan penalti, malah boleh kehilangan kelulusan visa,” jelasnya.
Mengulas mengenai tahap kepercayaan terhadap perkhidmatan Andalusia, Md Daud menegaskan bahawa rekod perkhidmatan Andalusia sejak 2007 menjadi jaminan mutu kepada jemaah.
“Dari aspek penginapan, makan minum, pengangkutan hinggalah kepada pengurusan kebajikan jemaah, kami sentiasa berusaha memberikan yang terbaik. Itulah komitmen Andalusia untuk memastikan setiap jemaah dapat menunaikan ibadah dengan sempurna,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!