KUALA LUMPUR: Pemuda PAS melancarkan gelombang #RayaingatPalestin sebagai tanda solidariti dan ingatan terhadap nasib saudara seagama dan seakidah.
Ketua Penerangannya, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, ketika umat Islam seluruh dunia bakal menyambut perayaan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan dan nikmat yang pelbagai, umat Islam di bumi Palestin terus dibantai dengan kejam dan hanya mampu sabar bertahan dengan ujian kematian dan kebuluran.
“Gelombang #RayaingatPalestin ini mengajak semua umat Islam Malaysia untuk merayakan hari raya seperti biasa dan penuh kegembiraan.
“Namun dalam masa (yang sama kita seharusnya) tidak melupakan penderitaan umat Islam di bumi Palestin dan Gaza,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, aktiviti yang disarankan menerusi gelombang adalah mengibarkan bendera Palestin, memakai mafla Palestin, memuat naik gambar hari raya (OOTD) dengan tanda pagar #RayaIngatPalestin.
“Justeru, Pemuda PAS menyeru agar usaha dalam bentuk doa, munajat dan sumbangan derma terus diperhebatkan.
“Perkara sebegini merupakan sekecil-kecil ikhtiar kita dalam membantu perjuangan umat Islam Palestin mempertahankan bumi para anbiya,”katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2024