Autonomi mahasiswa bina integriti pemimpin masa depan

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Autonomi kepada mahasiswa untuk menguruskan aset dan kewangan dilihat merupakan satu langkah yang terbaik dan lebih bertanggungjawab.

Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, perkara ini juga merupakan satu pendidikan untuk bakal graduan agar mempunyai integriti apabila mereka menjadi pemimpin suatu ketika nanti.

- Advertisement -

“Kita tahu di negara kita hari ini soal integriti yang dibincang oleh semua pihak adalah begitu parah kerana apabila terdiri dari kalangan mereka yang bijak pandai, maka gejala-gejala yang tidak baik ini berlaku melibatkan bilion ataupun jutaan Ringgit.

“Kita tidak mahu dari kalangan mahasiswa yang tidak ada integriti apabila mereka keluar nanti, mereka pula menunjukkan contoh suri teladan yang tidak baik kepada masyarakat di luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS, meminta kementerian menyatakan adakah pindaan ini benar-benar mampu memberikan ruang aktivisme kepada mahasiswa.

“Saya melihat bahawa ruang aktivis mahasiswa bukan sahaja melalui kebebasan, menguruskan persatuan, bahkan apa yang lebih penting ialah suasana atau persekitaran kampus yang benar-benar mendorong mahasiswa untuk prihatin dan peka dalam perkembangan semasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2024

- Advertisement -