Kredit karbon: Kerajaan digesa sedia strategi mantap

Datuk Ali Biju
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan harus menyediakan strategi yang mantap terhadap pelaksanaan dasar karbon di Malaysia bagi membolehkan negara terlibat secara aktif di peringkat antarabangsa.

Datuk Ali Biju (PN-Saratok) berkata, kredit karbon adalah satu perkembangan terbaru di Malaysia, sekali gus akta mahupun enakmen perlu diseragamkan di peringkat negeri dan antarabangsa untuk memberikan punca kuasa undang-undang.

- Advertisement -

“Adakah kajian telah dijalankan mengenai kebolehlaksanaan cukai karbon termasuk perbandingan dengan negara lain di peringkat antarabangsa.

“Apakah rangka kerja dan mekanisma yang bersesuaian dan impak pelaksanaan cukai karbon terhadap industri yang sensitif karbon dan kesannya terhadap pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Ali dalam soalan asalnya minta kerajaan menyatakan hala tuju dasar karbon kebangsaan dan status terkini pelaksanaan perdagangan karbon di Malaysia seperti yang telah dipelopori ole Sarawak dan Sabah.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menjawab soalan tersebut berkata, cukai karbon sebenarnya dipelopori oleh pihak Kementerian Kewangan kerana ia melibatkan soal cukai.

Menakala, kata beliau, pihaknya bertindak sebagai kementerian yang menyediakan input teknikal kepada perkara tersebut.

“Sebagai makluman, Kementerian Kewangan sudah memulakan perbincangan yang juga melibatkan pihak bank dunia yang memberikan input contoh-contoh pelaksanaan cukai karbon di negara lain. Di rantau ini antara kita tahu telah laksanakan termasuklah negara Singapura.

“Jadi kita nak lihat perkara ini perlu dikaji secara mendalam kita menyedari bahawa kalau kita nak pastikan termasuk pasaran karbon kita dapat berkembang dengan pesat, cukai karbon ini antara instrumen penting.

“Namun ia juga tentu ada implikasi kepada harga barangan-barangan karbon intensif. Jadi antara perkiraan yang kita ambil juga ialah hakikatnya pada masa ini kita masih lagi banyak subsidi kepada karbon.

“Sebagai contoh ialah petrol, diesel, gas asli dan sebagainya, jadi sebab itu kita perlu melihat perkara ini secara menyeluruh,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 18/3/2024