Jeritan Hindun yang menyayat hati

- Advertisement -

“Tolong, tolong selamatkan saya. Mereka semua sudah mati, kecuali saya. Saya takut. Pakcik tolong datang selamatkan saya…”

Tiba-tiba terdengar bunyi tembakan bertalu-talu dan jeritan kanak-kanak berusia 6 tahun itu. Lalu selepas itu tiada lagi sebarang suara, walaupun pegawai Palang Merah berkali-kali menyebut, “Helo, helo, helo…”

Demikian detik-detik terakhir hayat Hindun Rajab, yang mayatnya hanya ditemui selepas 12 hari.

- Advertisement -

29 Januari lalu, tentera Israel memberi amaran dan mengarahkan penduduk di Bandar Gaza agar berpindah ke Selatan kerana mereka akan melakukan serangan di Gaza Barat.

Basyar Hamada segera membawa ahli keluarganya bergerak ke arah selatan. Dia memandu kereta KIA berwarna hitam.

Selain Basyar dan isteri, kenderaan itu turut dinaiki anak mereka Muhammad, 11 tahun, Liyan, 14, Raghad, 13 dan anak saudaranya Hindun 6 tahun.

Ketika tiba di Tel Hawa, mereka bertembung dengan sepasukan tentera Israel dengan beberapa buah kereta kebal. Mereka diserang bertalu-talu.

Basyar dan ahli keluarganya semua terbunuh. Yang tinggal hanyalah anak saudaranya Hindun.

Budak pintar ini segera menghubungi talian palang merah memohon bantuan. Jelas di dalam rakaman perbualan itu kedengaran suara Hindun dalam ketakutan yang amat sangat, memohon diselamatkan.

Selepas bertanya beberapa soalan, kedengaran bunyi tembakan bertalu-talu dan suara jeritan Hindun. Lalu kemudiannya suara itu tiada lagi.

Pegawai Palang Merah cuba memanggilnya berkali-kali namun tiada jawapan. Menunjukkan Hindun sudah terkena tembakan.

Pasukan Palang Merah segera menghantar sebuah ambulan ke tempat kejadian. Ia dikendalikan oleh dua petugas, Yusuf Zainu dan Ahmad Madhun.

Ambulan itu sudah mendapat permit hijau dengan maksud dibenarkan untuk bertugas menyelamat dan memberikan pertolongan cemas.

Ketika tiba di tempat kejadian, petugas menghubungi bilik gerakan memaklumkan bahawa mereka sudah menemui kereta KIA hitam yang dimaksudkan. Kedudukan mereka hanya beberapa meter sahaja dari kereta berkenaan.

Namun seperti kejadian pertama, pegawai Palang Merah mendengar menerusi panggilan berkenaan bunyi ambulan diserang dan kemudiannya tiada lagi suara petugas ambulan.

Tiada siapa yang tahu, apa yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap mereka. Pasukan penyelamat tidak dapat masuk ke tempat kejadian.

Sehinggalah pada pagi Sabtu 10 Februari. Apabila tentera Israel berundur dari Gaza Barat, ahli keluarga segera masuk ke tempat kejadian.

Alangkah terkejutnya mereka mendapati dua buah kenderaan musnah sama sekali dan hangus terbakar.

Pada dinding kereta berkenaan terdapat puluhan lubang hasil tembakan senapang tentera Israel. Turut terdapat kesan tembakan besar yang memusnahkan kenderaan-kenderaan berkenaan, disyaki dibedil oleh kereta kebal.

Kesemua mayat mangsa ditemui termasuk dua orang petugas ambulan.

Kejahatan tentera Israel jelas melanggar peraturan antarabangsa. Termasuk menyerang orang awam dan pasukan penyelamat yang mendapat perlindungan di bawah undang-undang antarabangsa.

Sehingga hari ke 128 serangan, tentera rejim Zionis telah membunuh 28,176 warga Gaza dan mencedarakan 67,784 yang lain.

Angka berkenaan tidak termasuk mangsa yang masih belum ditemui disebabkan terperangkap di bawah runtuhan atau berada di lokasi yang tidak boleh dimasuki oleh penyelamat.

ARIS HAZLAN ISMAIL– HARAKAHDAILY  11/2/2024

Sumber asal: https://www.facebook.com/arishazlan.ismail/posts/24904550095826216

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -