GUA MUSANG: Pelbagai pihak menyambut baik langkah tegas kerajaan negeri tidak membenarkan sebarang bentuk hiburan, aktiviti atau bunyi-bunyian muzik pada setiap malam Jumaat.
Malah peraturan itu bukan perkara baru kerana telah dilaksanakan lebih 30 tahun lepas.
Ahli Majlis, Majlis Daerah Gua Musang Azman Ahmad berkata, malam Jumaat wajar tidak diadakan sebarang bentuk persembahan hiburan sebagai menghormati Jumaat penghulu segala hari.
Katanya, peraturan itu sudah dikuatkuasa di Kelantan sejak awal pentadbiran ulama di bawah dasar Membangun Bersama Islam.
Pengelola Dakwah Halaqat Gua Musang Rizwadi Ismail pula berkata, malam Jumaat hanya sesuai diadakan program berbentuk dakwah dengan pengisian berbentuk kuliah agama.
“Langkah Kelantan tidak membenarkan sebarang bentuk hiburan dan bunyi-bunyian malam Jumaat sudah menjadi budaya di Kelantan sejak lebih 30 tahun lalu,” katanya di sini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, larangan sebarang bentuk hiburan termaktub dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.
“Garis panduan ini bersesuaian dengan galakan sebagai seorang Muslim untuk memperbanyakkan amal ibadah pada malam Jumaat.
“Pada masa yang sama ia menjadi dasar kerajaan negeri Membangun Bersama Islam,” katanya selepas Mesyuarat Exco di MABNA MBI.
Menurutnya juga mana-mana penganjur program sama ada festival, hiburan atau seumpamanya perlu mematuhi arahan itu bermula jam 5 petang Khamis sehingga 5 petang Jumaat. – HARAKAHDAILY 25/7/2024