
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Kawasan Shah Alam memandang serius isu yang berlaku beberapa hari lalu berkaitan sumbangan syarikat arak kepada sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Ketua Pemuda PAS Shah Alam, Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, tindakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menghadiri serta dengan tidak teliti bergambar bersama ‘mock cheque’ tertera logo syarikat arak juga tidak sepatutnya berlaku.
“Sebagai seorang Muslim kita ditegah daripada terlibat dengan aktiviti berkaitan arak,” ujar beliau dalam satu kenyataan, malam tadi.
Menurutnya, kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan yang membidas Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor juga kelihatan tidak selari dengan pekeliling yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan bertarikh 29 Mac 2018.
Dalam Perkara 7.3 Pekeliling itu ujarnya, menyatakan tatacara penerimaan sumbangan adalah tidak melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya.
Tegas beliau, kenyataan timbalan menteri tersebut yang menggambarkan bahawa PAS mencetus isu perkauman juga adalah terpesong daripada hakikat sebenarnya dan sangkaan jahat.
Justeru kata beliau, pihaknya menyeru agar Kerajaan Madani memandang serius perkara yang berlaku ini dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Selain itu kami mengajak masyarakat seluruhnya untuk memahami isu ini berdasarkan undang-undang yang sedia ada dan bukan kaca mata perkauman atau agama.
“Dewan Pemuda PAS ingin menegaskan janganlah dinormalisasikan industri mabuk ini ke dalam institusi pendidikan yang memiliki matlamat yang cukup jelas sebagaimana untuk menzahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu, serta menzahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berkemahiran, dan bersejahtera, menyediakan sumber manusia untuk kemajuan negara dan memberi peluang pelajaran kepada semua rakyat negara Malaysia,” ujarnya.
Tambah beliau, sebagai rakyat yang waras amat mengerti bahawa arak bukanlah suatu yang boleh menyumbang ke arah matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia sebagaimana dinyatakan tersebut. – HARAKAHDAILY 25/7/2024











