Negara sedang berada di ambang bahaya – Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Terlalu banyak perkara yang memeningkan kepala, yang menyusahkan rakyat dan menjadi suatu kewajiban kepada kita untuk jelaskan kepada rakyat satu persatu bahawa negara kita sedang berada di ambang bahaya,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.

- Advertisement -

Beliau berkata, jika rakyat Malaysia tidak melakukan apa-apa tindakan dalam tempoh tiga tahun akan datang, inilah yang akan menentukan untung nasib bangsa dan negara.

“Saya umpamakan kita sedang berada di hujung tanduk pada hari ini. Bagaikan telur yang berada di hujung tanduk.

“Sedang kita bersama-sama dengan kerajaan campuran PH-BN yang sedang melakukan apa jua perkara untuk memastikan mereka kekal berkuasa dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap di program Jelajah Penerangan Selamatkan Malaysia & Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PAS Wilayah di Darul Tarbiyah PAS Bandar Tun Razak, di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Wilayah Persekutuan, Dr Rosni Adam; Setiausaha Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Syakir Norazli dan Yang Dipertua PAS Kawasan Bandar Tun Razak, Syukor Aziz dan Ketua Penerangan Bersatu Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail.

Tambah beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas, memang benar bahawa rakyat Malaysia bergantung kepada media sosial, tetapi media sosial pada hari ini sudah pun disekat dengan pelbagai cara.

“Mereka sekat, mereka buat aduan sama ada melalui TikTok, Meta Facebook, Twitter (X). Mereka lakukan apa jua perkara, dan kita tak nak dalam keadaan kita bergantung 100 peratus dengan media sosial.

“Sampai satu tahap mereka sekat dengan hanya satu petikan jari sahaja, kita akan kehilangan semua usaha penerangan.

“Sebab itulah kita mahu setiap agensi, penerangan kita daripada peringkat pusat, sampai perhubungan, sampai kawasan bahkan sampai peringkat cawangan.

“Kita bergerak dalam bentuk seperti ini supaya kita fahamkan rakyat betapa pentingnya untuk kita ‘mentalkinkan’ kerajaan campuran PH-BN pada hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/2024

- Advertisement -