Hukuman sebat terhadap penjenayah alam sekitar?

Dr Mohd Zuhdi Marsuki
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perlukah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dipinda sekali lagi tetapi disertai dengan hukuman sebat terhadap penjenayah alam sekitar?

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (LASPI) PAS, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, sehingga kenyataan ini dikeluarkan, belum ada laporan susulan berkaitan pencemaran air di Sungai Kundang dan Sungai Lembah sehingga menyebabkan bekalan air sebahagian Lembah Klang terputus.

“Laporan sementara yang dikeluarkan oleh Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin, pencemaran tersebut berpunca daripada kebocoran tangki sebuah kilang plastik di Kuang.

“Apa yang difahami daripada laporan itu, tangki tersebut menempatkan bahan terjadual, Poly Metacrylic Acid atau PMAA,” katanya dalam akaun media sosialnya hari ini.

Menurut beliau, lazimnya kilang plastik seumpama ini, yang mengendalikan bahan terjadual, perlu berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan pengurusan dan perlupusan bahan terjadual tersebut tidak mencemarkan alam sekitar.

Tambah beliau, kilang yang berdaftar dengan JAS seharusnya perlu dipandu dan dipantau bagi memastikan bahan terjadual tersebut tidak dilepaskan ke persekitaran termasuklah dalam situasi di luar jangkaan seperti kebocoran tangki.

“Oleh sebab itu, masyarakat awam menunggu, adakah kilang tersebut berdaftar dengan JAS atau tidak?” tanya beliau.

Katanya, pada 24 November 2020, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Ir Izham Hashim, melaporkan kepada Sinar Harian, sehingga Disember 2019 lebih 15,000 kilang sekitar Lembah Klang belum berdaftar dengan JAS.

“Menurut beliau, situasi ini disebabkan oleh ada kelompongan pada peraturan yang berkaitan kriteria kilang seperti yang ditetapkan oleh JAS.

“Maka, LASPI PAS berharap kelompongan tersebut harus segera dibaiki bagi memastikan kilang-kilang yang berisiko tinggi dapat dipantau oleh JAS,” ujarnya.

Sebelum ini, katanya kawasan sekitar Kuang, Kundang dan Rawang sering menjadi punca pencemaran kepada bekalan air mentah bagi Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan  Sungai Selangor.

“Semasa Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, menerajui Kementerian Alam Sekitar dan Air (tahun 2020 hingga 2022), beberapa kali beliau telah turun ke kawasan ini. Sememangnya, kawasan ini perlu diberi perhatian tinggi disebabkan terdapat banyak kegiatan industri yang melibatkan bahan terjadual dan berisiko tinggi mencemarkan sumber air,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dr. Zuhdi menyatakan pencemaran air seperti yang pernah berlaku sebelum ini menjadi antara faktor utama kepada pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang diusulkan oleh Tuan Ibrahim dan seterusnya diluluskan dalam Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2022 yang lalu.

Kata beliau lagi, pindaan tersebut membolehkan penjenayah alam sekitar yang disabitkan kesalahan menerima hukuman denda sehingga RM10 juta dan sehingga lima tahun penjara.

“Namun begitu, pindaan ini sudahpun diwartakan pada 6 Jun 2024 baru-baru ini.

“LASPI melihat, hukuman berat yang dikenakan melalui pindaan Akta Kualiti Alam Sekiling (1974) pada tahun 2022 itu seharusnya menyedarkan dan menggerunkan pemilik-pemilik industri” kataya.

Katanya, mereka sewajarnya mempunyai kepekaan yang tinggi terhadap kesan kegiatan industri mereka kepada alam sekitar.

“Walau bagaimanapun, kejadian pencemaran sumber air kelmarin di Kuang seperti tidak menimbulkan keinsafan dan kegerunan.

“Maka, adakah Akta Kualiti Alam Sekiling (1974) perlu dipinda lagi, kali ini memasukkan pula hukuman sebat,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2024

- Advertisement -