
KUALA LUMPUR: Pimpinan DAP tanpa segan silu mengaku dan memberitahu satu Malaysia hakikatnya sudah tiga dekad syarikat arak membiayai sekolah-sekolah cina di negara ini.
Malang sekali Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berani mengecualikan dirinya sendiri daripada pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan dengan bangganya membenarkan tindakan tersebut.
Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, sedangkan syarikat arak dan rokok juga telah dihalang untuk diiklankan di TV dan media perdana, selain mereka tidak boleh menaja sebarang acara sukan di Malaysia.
“Maka di mana kelayakan dan keistimewaan syarikat ini mendapat laluan untuk mempromosikan minuman keras ini secara terang-terangan di premis sekolah?
“Tidak lain dan tidak bukan jika ada entiti yang besar kepala melanggar undang-undang di Malaysia. Ini bukan lagi soal isu perkauman apatah lagi isu politik.
“Tidak ada pihak yang dengki dengan penajaan ini melainkan marah dan terkilan kerana tindakan ini telah mencemarkan institusi pendidikan di Malaysia,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zurk, alasan Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu bahawa beliau tidak boleh mengabaikan hak masyarakat lain juga jauh menyeleweng.
“Ini soal imej dan mutu pendidikan di Malaysia serta moral anak-anak yang dididik di sekolah, bukan menyekat hak sekolah mahupun mana-mana kaum untuk menerima sumbangan.
“Tindakan tegas mesti diambil untuk menghentikan budaya ini walaupun telah diamalkan sejak lama,” gesa beliau.
Katanya, budaya ini menjatuhkan kredibiliti kementerian jika masih ada pemimpin yang sengaja tidak mahu tunduk kepada pekeliling kerajaan yang dibuat untuk menjaga nama baik sistem pendidikan di Malaysia.
Tegasnya, tiada pengecualian untuk pematuhan garis panduan yang melarang sekolah menerima dana yang dijana daripada penjualan produk tembakau dan minuman beralkohol. – HARAKAHDAILY 24/7/2024











