PRK Sungai Bakap ulangi pertemuan dua penjuru PN-PH

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: PRK N.20 DUN Sungai Bakap menyaksikan pesta demokrasi itu mengulangi sejarah apabila PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Pakatan Harapan (PH) sekali lagi bertemu secara dua penjuru bagi pertandingan kali ini.

- Advertisement -

Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) PRK N.20 DUN Sungai Bakap mengumumkan bahawa dua calon mewakili dua koalisi itu telah disahkan bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Pengumuman itu dibuat setelah proses penamaan calon selesai pada jam 10:20 pagi setelah waktu penghantaran borang pencalonan diumumkan tutup tepat jam 10:00 pagi.

Kertas penamaan calon bagi Johari Arifin daripada PH diterima pada jam 9:03 pagi, diikuti kertas penamaan calon Abidin Ismail dari PN pada jam 9:06 pagi dengan kedua-duanya diterima tanpa sebarang bantahan dan penolakan.

“Dengan ini, calon-calon yang sah bertanding dalam PRK N.20 DUN Sungai Bakap adalah calon nombor satu, Cikgu Johari daripada Pakatan Harapan dan calon nombor dua, Abang Abidin daripada PERIKATAN NASIONAL,” umumnya.

Terdahulu, Abidin bersama Pencadang, Abdul Rahman Hashim dan Penyokong, Amizan Ariffin yang diiringi sekitar 5,000 penyokong dan pimpinan PN memasuki Pusat Penamaan Calon di Dewan Sebaguna Jawi, di sini jam 8:57 pagi.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang antara yang hadir memberi sokongan kepada calon dan turut masuk ke dewan tersebut bersama 20 pimpinan PN lain.

Pihak PN sebelum itu berkumpul di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan dan menunaikan solat sunat hajat diimamkan Ketua Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Tajuddin Abu Bakar.

Hari pengundian akan diadakan pada Sabtu, 6 Julai akan datang setelah berlaku kekosongan luar jangka berikutan kembalinya ke rahmatullah ADUN Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu. – HARAKAHDAILY 22/6/2024

- Advertisement -