
NIBONG TEBAL: Naib Ketua Srikandi BERSATU Pulau Pinang, Rohana Ghazli menyeru pengundi Sungai Bakap menilai pencapaian PERIKATAN NASIONAL (PN) dan memberi sokongan Abidin Ismail.
Menurut beliau, perjuangan calon PN PRK N.20 Sungai Bakap itu adalah kesinambungan dari jasa-jasa ADUN Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff yang telah banyak berjasa kepada rakyat.
“Kita bangga dengan jasa Abang Zam dan harap perjuangan beliau diteruskan oleh calon kita, Abang Abidin,” kata Rohana ketika ditemui Harakahdaily semasa proses penamaan calon hari ini.
Rohana juga menekankan pentingnya generasi muda dan wanita muda di Pulau Pinang untuk mengambil peluang ini bagi membawa perubahan yang lebih baik.
“Generasi muda akan membawa peluang baru ke arah yang lebih baik. Sekiranya kita masih leka, bagaimana kita nak hadapi masa akan datang dengan keadaan kerajaan Pulau Pinang yang semakin menekan rakyat,” katanya.
Beliau menekankan bahawa sokongan kepada PN adalah penting untuk memastikan masa depan yang lebih cerah bagi penduduk Pulau Pinang, terutama dalam menghadapi cabaran semasa.
Rohana juga menyeru semua penduduk untuk bersatu padu dan menyokong calon PN dalam PRK ini, demi meneruskan legasi Abang Zam dan memastikan kebajikan rakyat terjaga. – HARAKAHDAILY 22/6/2024











