Kerajaan PH pekak badak derita rakyat

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyeru pengundi di Sungai Bakap untuk memberi isyarat jelas kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam PRK N.20 DUN Sungai Bakap.

- Advertisement -

Beliau berkata, rakyat perlu bersatu dan menyokong calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi memastikan suara rakyat diwakili dengan baik di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Calon kita adalah seorang yang rapat dengan rakyat dan mempunyai pengalaman menguruskan Allahyarham Abang Zam dulu.

“Dengan pengalaman ini, beliau mampu memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui Harakahdaily semasa proses penamaan calon hari ini.

Ustazah Nuridah turut menegaskan bahawa perkhidmatan Kerajaan PH adalah sangat tidak memuaskan, terutama dalam menangani isu kenaikan harga barang dan minyak.

“Kerajaan PH dilihat pekak badak dan tidak ambil peduli penderitaan rakyat.  Mereka dengan senangnya menaikkan harga diesel hampir 50 peratus.

“Keadaan ini menyebabkan pengguna terpaksa membayar lebih RM200 untuk mengisi tangki penuh,” ujarnya.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan kenaikan harga petrol dalam masa terdekat, yang akan menambah beban rakyat.

“Rakyat perlu bersatu padu dan memberi isyarat kepada PH bahawa kita tidak puas hati dengan pentadbiran mereka,” tambahnya.

Ustazah Nuridah menyeru pengundi untuk memangkah PN dalam PRK ini bagi memastikan suara dan kebajikan rakyat diperjuangkan dengan lebih berkesan. – HARAKAHDAILY 22/6/2024

- Advertisement -