Abang Abidin warisi legasi Allahyarham Abang Zam

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 DUN Sungai Bakap, Abidin Ismail disifatkan sebagai mewarisi legasi ADUN Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, Abidin telah menimba pengalaman selama sepuluh bulan sebagai pembantu kepada Allahyarham sebelum ini.

Beliau yang juga ADUN Sungai Dua dan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang menyifatkan bahawa perkara tersebut memberikan kelebihan kepada Abidin apabila terpilih dalam PRK ini nanti.

“Alhamdulillah selepas daripada keputusan dibuat iaitulah kita memilih calon rakyat iaitu Abang Abidin sebagai calon yang merupakan pembantu kepada Allahyarham YB Nor Zamri.

“Jadi rata-rata kita lihat masyarakat menyambut baik terutama sekali kampung beliau di Sungai Duri, masya-Allah sambutan yang sangat baik, reaksi yang cukup baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di sesi taklimat negeri bantu di Unit Daerah Mengundi (UDM) Ladang Sempah di sini, malam tadi.

Tambahnya, beliau dapat melihat tanda-tanda bahawa masyarakat di sini tidak berasa canggung ataupun terasing dengan tokoh tersebut.

Kata Ustaz Fauzi, Abidin menunjukkan pencapaian yang baik selama sepuluh bulan menjadi tulang belakang kepada Allahyarham Abang Zam dalam menyantuni penduduk di kawasan itu.

“Sehinggakan rata-rata daripada masyarakat memuji Abang Zam dan juga memuji tindakan Abang Abidin. Sehinggakan (Allahyarham Zamri) orang panggil Abang Zam, sekarang ni orang panggil Abang Abidin pula.

“Mudah-mudahan maknanya yang akan datang ini dapat mengganti tempat dan dapat meneruskan legasi Abang Zam dalam memberikan khidmatnya yang cemerlang kepada masyarakat di sini,” ujarnya.

Tambah beliau, Abang Abidin juga cemerlang dalam kerjayanya sebelum ini dengan mendapat pengiktirafan melalui kursus-kursus yang beliau sertai yang dihantar oleh syarikat beliau bekerja.

“Pencapaian dalam kita mengukur keupayaan seseorang itu ialah kepada pengalaman dan juga pencapaian dalam profesion yang beliau sertai sebelum daripada beliau berhenti.

“Termasuk juga dalam memberikan sepenuh ni khidmat beliau bersama dengan Allahyarham YB abang Zam selama 10 bulan yang lalu,” katanya.

PRK Sungai Bakap diadakan berikutan kematian penyandangnya, Zamri pada 24 Mei lepas setelah tiga minggu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) akibat komplikasi di bahagian perut.

Tarikh pengundian ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada 6 Julai manakala pengundian awal pula pada 2 Julai sementara penamaan calon berlangsung pada hari ini.

Allahyarham Zamri yang bertanding atas tiket PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 15 menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose, selepas meraih 15,433 undi. – HARAKAHDAILY 22/6/2024

- Advertisement -