
MARANG: Usaha yang gigih membuahkan hasil bagai ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’ apabila bekas pelajar PASTI Al-Falah, Sentul Patah berjaya menempatkan diri sebagai salah seorang bintang bola sepak muda yang menandatangani kontrak bersama Akademi Johor Darul Takzim (JDT) di Ibu Pejabat JDT, Stadium Sultan Ibrahim.
Muhammad Farish Syamil Sharif atau lebih dikenali Adik Payis, 11, mendapat pujian daripada seluruh warga sekolah atas pencapaiannya.
Usaha yang tidak mengenal erti penat lelah daripada ibu bapa turut dipuji, membuktikan bahawa sokongan keluarga dalam kejayaan anak-anak amat penting.
Kejayaan tidak datang bergolek dan Adik Farish membuktikan langkah pertamanya bermula dari peringkat PASTI apabila berjaya menyandang Anugerah Pemain Terbaik Bola Sepak di Karnival Sukan PASTI DUN Rhu Rendang 2019.

Bahkan beliau terus mengasah bakatnya lagi dalam pemilihan Bakat Muda Bola Sepak Akademi JDT.
Beliau juga salah seorang daripada sembilan pemain yang terpilih untuk uji bakat di padang Latihan JDT 2, Pasir Gudang dan telah disenarai pendek dalam pemilihan akhir.
Pasukannya pernah menjuarai acara bola sepak dalam Sukan PASTI Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Melaka pada 2019 dan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik.
Dengan usaha dan pengalaman yang dikecapi, besar harapan Adik Farish untuk terus maju jaya dalam dunia sukan bola sepak serta mengambil peluang keemasan itu untuk membawa nama Negeri Terengganu ke peringkat lebih tinggi. – HARAKAHDAILY 22/5/2024












