Saudi rasmikan teksi terbang ‘pandu sendiri’ buat jemaah haji

Perkhidmatan teksi udara di Arab Saudi adalah yang pertaa dilesenkan di dunia. (FOTO: Arab News)
- Advertisement -

MAKKAH: Arab Saudi telah merasmikan perkhidmatan sulung teksi udara ‘pandu sendiri’ untuk jemaah bagi musim haji tahun ini.

Menteri Pengangkutan dan Perkhidmatan Logistik Arab Saudi, Saleh Nasser Al-Jasser berkata, teksi terbang itu adalah yang pertama di dunia yang telah dilesenkan oleh pihak berkuasa penerbangan awam.

- Advertisement -

“Teksi terbang elektrik itu akan membawa jemaah haji merentasi kota suci, memudahkan pemindahan kecemasan dan bekalan perubatan dengan pantas, serta menghantar barangan,” katanya kepada agensi berita SPA.

Tambah Saleh, perasmian teksi udara itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mengaplikasikan teknologi pengangkutan masa depan terkini dan mengguna pakai model pengangkutan inovatif mesra alam menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI). 

“Selaras dengan objektif Strategi Pengangkutan dan Logistik Kebangsaan, kerajaan menyasarkan untuk memodenkan sektor pengangkutan melalui pelancaran teknologi teksi udara, kereta elektrik dan kereta api hidrogen.

“Kementerian sedang berusaha untuk meningkatkan mobiliti pintar dan membangunkan perundangan, undang-undang dan sistem yang membolehkan penggunaan teknologi moden,” jelasnya. 

Terdahulu pada Rabu, Saleh menyaksikan penerbangan teksi udara tanpa pemandu itu pada majlis pelancaran yang dihadiri oleh Presiden Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GACA), Abdulaziz Al-Duailej dan Timbalan Menteri Pengangkutan dan Perkhidmatan Logistik, Rumaih Al-Rumaih. -Agensi/HARAKAHDAILY 13/6/2024

- Advertisement -