Kenaikan harga diesel angkara kerajaan tiada duit?

Isham Jalil
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Menteri Ekonomi boleh sahaja menyatakan satu daripada sebab kenaikan diesel ialah kerajaan tidak mempunyai wang untuk memberi kontrak-kontrak dan projek kepada kroni-kroninya.”

Itu kenyataan ‘pedas’ daripada mantan Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil, ketika  mengulas mengenai ceramah oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli di Sungai Bakap, Pulau Pinang, semalam yang cuba menjawab isu ke manakah subsidi diesel berbillion-billion selama ini yang kononnya dikatakan ‘hilang’.

“Sebelum itu kerajaan  kata kerajaan telah hilang RM7 hingga RM8 billion subsidi setahun (atau dianggarkan bersamaan 20 juta liter diesel sehari) akibat diesel diseludup keluar sempadan yang mana saya menyatakan angka itu tidak masuk akal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Menurut Isham, Rafizi menyatakan terdapat dua cara menyeludup keluar diesel dari negara ini iaitu melalui jalan darat dan bot-bot nelayan yang diisi daripada ‘skid tank’.

Tambah beliau, Menteri Ekonomi tersebut pula menyalahkan nelayan kerana kononnya seludup keluar minyak tersebut.

“Jika nelayan seludup keluar 20 juta liter sehari atau separuh dari itu pun dan jual diesel di laut, maka ada berpuluh-puluh ribu bot nelayan yang beroperasi curi, seludup dan jual diesel di atas laut setiap hari. 

“Ini umpama mereka buka stesen minyak di atas laut dengan berpuluh ribu bot nelayan setiap hari berkumpul untuk seludup dan jual diesel di tengah lautan. 

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) takkanlah tidak nampak berpuluh ribu bot ini berkumpul jual berpuluh juta liter diesel setiap hari? Ini tidak masuk akal.

“Kelmarin saya telah tulis bagaimana angka RM7 hingga RM8 billion (atau 20 juta liter diesel sehari) yang diseludup melalui sempadan darat seperti yang kerajaan kata itu pun tidak masuk akal, sebab jika ia benar akan ada berpuluh ribu atau 40,000 lori beratur untuk lolos sempadan setiap hari untuk seludup diesel. 

“Jika mereka guna tangki IBC 1,000 liter pun, maka 10,000-20,000 lori diperlukan untuk seludup keluar diesel setiap hari. Jika mereka guna lori tanker 20,000 liter sekalipun untuk seludup diesel 20 juta liter, seribu lori tanker ini beratur di sempadan setiap hari untuk seludup diesel.

“Siapa ada nampak seribu lori tanker 20,000 liter beratur di sempadan masuk Thailand atau Singapura bawa diesel setiap hari dan setiap satu lori tanker ini lolos setiap minit.

“Jika mengikut andaian ini, maka penguatkuasa, polis dan kastam duduk sahaja tengok perkara ini berlaku setiap hari tanpa buat apa-apa,” jelasnya.

Beliau menyatakan, Rafizi pada akhir ucapannya sendiri berkata kebanyakan kes penyeludupan atau ketirisan sebegitu berlaku dalam negeri yang mana subsidi-subsidi minyak diesel hilang kerana terdapat segelintir pihak yang mencuri minyak tersebut dari stesen minyak dan kemudiannya jual kepada industri.

“Ini menimbulkan dua persoalan iaitu yang pertama, kalau subsidi itu hilang akibat dalam negeri, ia bukan dipanggil penyeludupan. Penyeludupan ini merentas sempadan. Takkan perkara sebegini pun tak tahu? 

“Kedua, menteri-menteri kata kita guna RM10.8 billion subsidi diesel dalam negeri satu tahun pada tahun 2023. 

“Kalau RM7 hingga RM8 billion subsidi diesel ini “kebanyakannya hilang dalam negeri” akibat orang pergi jual diesel kepada industri seperti yang kamu kata semalam, maksudnya dalam 70%-80% dari diesel yang diisi di stesen minyak di seluruh negara ini orang curi dan jual kepada industri. 

“Takkan hanya 20% hingga 30% diesel yang diisi di stesen minyak itu diisi oleh pengguna sahih dan yang lain semua diisi pengguna haram?” hujahnya.

Justeru, beliau berpandangan bahawa terdapat kemungkinan  kerajaan menaikkan harga minyak diesel adalah untuk menambah wang kerana takut menangani masalah ketirisan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menelan berpuluh billion ringgit.

“Ini apa yang saya lihat kerana yang seludup minyak diesel terlepas manakala yang lari dari bayar SST pun terlepas tetapi yang ditekan dan suruh bayar adalah rakyat itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2024

- Advertisement -