Sultan Sharafuddin perkenan Selangor FC tak hadir Piala Sumbangsih 

Sultan Sharafuddin memberi perkenan dan menyokong sepenuhnya keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor, esok, 10 Mei 2024. (FOTO: Facebook@Selangor Royal Office)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan dan menyokong sepenuhnya keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 10 Mei ini.

Sultan Sharafuddin yang juga penaung Selangor FC turut menzahirkan rasa kecewa kerana Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak permohonan skuad Gergasi Merah supaya menangguhkan perlawanan berkenaan.

- Advertisement -

Baginda berpandangan, susulan beberapa insiden mengancam nyawa yang melibatkan pemain dan pegawai baru-baru ini, adalah bertepatan untuk Selangor FC tidak menyertai perlawanan berkenaan yang juga merupakan aksi pertama Liga Super edisi 2024/2025.

“Keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan pemain dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan.

“Ia bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid yang melibatkan pemain sayap, Faisal Halim juga harus diambil kira,” titah baginda menerusi kenyataan, hari ini.

Justeru, baginda turut menyokong solidariti untuk membanteras keganasan sukan dalam apa jua bentuk #standwithfaisalhalim #stoptheviolence.

Malah, baginda juga mahu semua pihak memahami bahawa tahap keseriusan insiden yang melibatkan nyawa pemain sebegini adalah tidak sama dengan kes-kes sebelum ini, apatah lagi ia berlaku sangat hampir dengan tarikh perlawanan.

Baginda turut menegaskan bahawa Selangor FC sedia berdepan dengan apa jua tindakan susulan daripada keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan tersebut.

Selangor FC sebelum ini memohon MFL menunda Piala Sumbangsih atas alasan keselamatan susulan insiden simbah asid ke atas Faisal selain ugutan yang diterima oleh beberapa orang pengurusan kelab itu.

MFL bagaimanapun menolak permohonan tersebut sekali gus menyebabkan Selangor FC memutuskan untuk menarik diri mengambil kira insiden jenayah serta ancaman yang melibatkan berapakah bilangan pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh 72 jam. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

- Advertisement -