KUALA LUMPUR: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) risau dengan insiden yang melibatkan Safiq Rahim, susulan kereta yang dipandu pemain berusia 36 tahun itu telah diserang sebelum dipecahkan individu tidak dikenali berhampiran Pusat Latihan JDT malam tadi.
“Kami menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyiasat perkara ini dengan segera,” kata Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards dalam satu kenyataan melalui Facebook, hari ini.
Tambah beliau, insiden terbaharu melibatkan Safiq, bersama-sama dengan serangan ke atas Akhyar Rashid dan Faisal Halim baru-baru ini, tidak mempunyai tempat dalam dunia bola sepak.
“Disebabkan kes-kes terkini, JDT telah meningkatkan lagi keselamatan barisan pemain kami sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kami juga telah menasihatkan para pemain kami untuk berhati-hati dengan persekitaran dan hantaran-hantaran mereka (yang dimuat naik) pada media sosial pada setiap masa,” katanya.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat Safiq yang tular di media sosial, kejadian itu berlaku sebaik selesai mengambil barang di Pusat Latihan JDT, cermin keretanya dipecahkan menggunakan tukul besi.
Difahamkan, kenderaan Safiq itu telah di serang sebelum dipecahkan oleh dua lelaki bermotosikal di Padang Seri Gelam, Johor Bahru pada jam 10.05 malam.
Insiden yang kali ini melibatkan Safiq itu berlaku selang dua hari selepas pemain Selangor FC, Faisal Halim, 26, yang telah disimbah asid pada 5 Mei lalu menyebabkan kecederaan bakar tahap empat, dalam serangan di sebuah pusat membeli-belah di Damansara, di sini.
Terdahulu, pada 2 Mei 2024, pemain pasukan Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid kehilangan telefon bimbit dan dompet dalam kejadian samun, di sebuah kondominium di Kuala Terengganu ketika baru pulang dari makan malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Akhyar, 25, yang baru saja turun dari kereta dipukul dengan senjata dipercayai cota di bahagian kepala dan badan oleh suspek yang tidak dikenali. – HARAKAHDAILY 8/5/2024