Piala Sumbangsih: JDT kecewa Selangor FC tarik diri 

Alistair Edwards. (FOTO: Facebook Johor Southern Tigers )
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menzahirkan rasa kecewa dengan keputusan Selangor FC untuk tidak hadir bagi meneruskan perlawanan Piala Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super musim 2024-2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards dalam kenyataannya di laman rasmi Johor Southern Tigers berkata, terdahulu, jaminan telah diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, bahawa keselamatan pasukan, pemain dan penyokong merupakan keutamaan dan phak polis akan menggandakan kehadiran dengan 1,500 anggota.

- Advertisement -

“Kami sememangnya mengutuk keras insiden melibatkan Faisal Halim dan juga ancaman diterima beberapa individu di Selangor FC tetapi kami berharap agar pasukan itu dapat mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak hadir dari perlawanan.

“Ini kerana ia boleh menetapkan ‘precedent’ untuk mana-mana pasukan menarik diri kerana berasakan tidak selamat meskipun mendapat jaminan daripada pihak polis,” tambah beliau.

Edwards dalam kenyataan itu juga menegaskan JDT pernah diserang dalam keadaan yang ‘hostile’ ketika di Pahang, Perak dan Kelantan ketika peringkat  awal transformasi pasukan itu, namun ia tetap hadir ke gelanggang lawan dan turun beraksi dalam perlawanan yang dikawal ketat pihak polis.

“Selangor tidak pernah diserang di Stadium Sultan Ibrahim. Malahan pasukan dan penyokong mereka sentiasa dikawal polis menuju masuk ke stadium dan mengawal mereka sejurus perlawanan tamat sehingga ke bas dalam perlawanan sebelum ini.

“Meskipun kejadian baru-baru ini yang menimpa Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim membimbangkan, kita perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa bukan hanya untuk menyiasat kes-kes ini tetapi juga untuk menjaga keselamatan dan memastikan musim bola sepak 2024-25 berjalan lancar,” katanya.

Terdahulu, pengurusan Selangor FC dalam kenyataan semalam, mengumumkan membuat keputusan mengejut menarik diri daripada beraksi dalam perlawanan Piala Sumbangsih selepas mengambil kira keselamatan pemain dan pegawai yang menjadi keutamaan pasukan itu, walaupun pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mahu meneruskan perlawanan itu. – HARAKAHDAILY 8/5/202

- Advertisement -