Pesawat pejuang tentera Singapura terhempas

Model pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Republik Singapura (RSAF). ((FOTO: CNA)
- Advertisement -

SINGAPURA: Sebuah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dilaporkan terhempas sebaik berlepas dari Pangkalan Udara Tengah, di sini, hari ini.

Menurut Kementerian Pertahanan (MinDef) negara itu, pesawat berkenaan dikatakan mengalami masalah teknikal semasa berlepas pada jam 12.35 tengah hari, dan juruterbang telah bertindak mengikut prosedur keselamatan sebelum keluar dari pesawat menggunakan kerusi lenting.  

- Advertisement -

“Juruterbang berjaya keluar dan pesawat kemudiannya terhempas di Pangkalan Udara Tengah. Juruterbang berada dalam keadaan sedarkan diri dan boleh berjalan. Dia kini sedang menerima rawatan susulan dan tiada anggota yang cedera,” lapor CNA merujuk kepada kenyataan MinDef.

Pihak RSAF mengambil maklum insiden berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihaknya dan maklumat lanjut mengenainya akan dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan dan RSAF dalam masa terdekat.

Singapura telah mengoperasikan pesawat pejuang jenis F-16 itu selama hampir 30 tahun dan kini ia sedang dinaik taraf untuk membolehkannya terus beroperasi sehingga pertengahan tahun 2030.

Pada Februari lepas, negara republik itu mengumumkan pembelian lapan buah pesawat pejuang jenis F-35A bagi menggantikan pesawat F-16, tambahan kepada pembelian 12 buah F35-B yang telah diumumkan sebelum ini. -Agensi– HARAKAHDAILY 8/5/2024

- Advertisement -