Ulang tahun ke-76 Nakbah: Perkuat, rapatkan saf Islam 

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umat Islam diseru mengumpul kekuatan, memperkasakan penguasaan ilmu serta merapatkan saf penyatuan atas kalimah tauhid yang Maha Esa sempena hari ini (15 Mei), genap 76 tahun peristiwa hitam dan berdarah Nakbah yang bermula pada tarikh 15 Mei 1948.

Pemuda PAS Malaysia dalam kenyataannya berkata, umat Islam diseru meneruskan segala usaha yang mampu dibuat walau sekecil mana pun ia seperti berdoa, berqunut nazilah perlu diteruskan. 

- Advertisement -

“Usaha memboikot segala jenis perusahaan dan apa jua perkara yang menyokong dan membiarkan kezaliman Zionis bermaharajalela perlu terus diperhebatkan. 

“Kita buktikan kepada Barat dan jaringan pemimpin Zionis bahawa umat Islam akan bangkit melawan kejahatan mereka,” gesa Pemuda PAS Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, tarikh 15 Mei 1948 adalah merupakan tanggal hitam dalam sejarah umat Islam era moden kerana hampir 700,000 warga Palestin diusir serta ratusan buah kampung asal yang diduduki orang Palestin dibakar dan dihancurkan.

Menurut kenyataan tersebut, berpuluh ribu nyawa menjadi korban serta puluhan episod pembunuhan besar-besar dilakukan dengan cukup kejam oleh pengganas Yahudi Zionis yang ketika itu masih dalam bentuk organisasi tentera seperti Irgun dan Haganah.

“Detik ini menandakan permulaan penjajahan penuh kebiadapan oleh Yahudi Zionis ke atas wilayah yang bukan milik mereka. Tahun demi tahun bahkan perjanjian demi perjanjian, tiada tanda bumi Palestin dan Baitulmaqdis yang menjadi tanah suci ketiga umat Islam akan dibebaskan,” ujar kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan tersebut, pada tarikh 7 Oktober menyaksikan serangan balas oleh mujahidin Palestin dalam usaha bagi membuka mata dunia, sehingga 200 hari kemudian pula masyarakat dunia disajikan dengan peristiwa Nakbah era moden apabila hampir 1.5 juta rakyat Palestin kini terusir dan terperangkap di Rafah, di selatan Gaza.

“Bermula dari Utara Gaza, kemudian ke Deir Balah, Khan Younis dan akhirnya kini di Rafah. Mereka diusir dengan cukup kejam sambil dibom tanpa diskriminasi oleh jet Zionis. Gaza seperti mana wilayah milik umat Islam terus menjadi contoh mala pateka kemanusiaan era moden. 

“Apa yang berlaku hari ini adalah bukti jelas kegagalan negara-negara Islam mempertahankan saudara seagama mereka. Ia juga menjadi bukti kegagalan sistem tatanan dunia baharu yang amat bias kepada dominasi kuasa veto yang tidak berakal.

“(Selepas) 76 tahun kemudian, umat Islam kekal tidak bersatu dan dipecahkan dengan begitu mudah oleh permainan mazhab dan politik yang sempit. 

“Sehinggakan mudharat besar musuh Islam di hadapan mata yang termaktub jelas dalam al-Quran akan keingkaran mereka dan kebencian mereka akan agama Islam kekal dibiarkan bermaharajalela,” kata kenyataan tersebut. – HARAKAHDAILY 15/5/2024

- Advertisement -