Sengketa hilangkan kekuatan, mudah dikuasai musuh

- Advertisement -

PADANG BESAR: Raja Muda Perlis, Brig Jen Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa keamanan, keharmonian dan kestabilan menjadi asas kekuatan yang wajar dipelihara sepanjang masa agar negara tidak dapat dikuasai mana-mana pihak dengan mudah.

- Advertisement -

“Negara ini tidak memerlukan sebarang persengketaan yang boleh merugikan semua pihak, malah tidak mustahil bagi mana-mana musuh negara baik dari dalam mahupun luar untuk menguasai kita dengan mudah. 

“Apa yang diperlukan ialah keamanan, keharmonian dan kestabilan. Inilah asas kekuatan negara yang perlu dipelihara sepanjang masa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia di Kem Bukit Keteri, di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah diiringi Raja Puan Muda Perlis, Mejar (K) Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut Timbalan Komander rejimen berkenaan, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim turut hadir.

Majlis anjuran Rejimen 504 Askar Wataniah itu bagi meraikan bulan Syawal bersama seluruh warga dan berpeluang beramah mesra bersama Tuanku berdua. – HARAKAHDAILY 8/5/2024

- Advertisement -