Tekan media punca Indeks Kebebasan Media menjunam

Shahir Adnan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Penurunan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang jatuh sebanyak 34 anak tangga tahun ini memperlihatkan wajah sebenar kerajaan Madani.

- Advertisement -

Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, penurunan itu menimbulkan kebimbangan mengenai pendekatan kerajaan menangani isu yang dianggap sensitif terutamanya berkaitan 3R (raja, bangsa, agama).

“Ini refleksi hasil tindakan Madani sekarang terhadap kebebasan media dan hak bersuara rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Malaysia dilapor berada di kedudukan ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang diterbitkan Reporters Without Borders (RSF) berbanding tangga ke-73 tahun lepas.

Kedudukan Malaysia turun 34 anak tangga dengan mencatat 52.07 mata berbanding tahun sebelumnya iaitu 62.83 mata.

Tekanan begitu ketara terutamanya kepada pembangkang, antaranya wartawan Harakah digantung pas perakuan media Jabatan Penerangan sehingga sekarang.

Shahir berkata, menurut analisis RSF, Kerajaan Madani mengenakan tekanan politik untuk menghalang media menegur kerajaan.

“Ia dapat dilihat banyak halangan di media sosial, sama ada Facebook atau TikTok, yang seharusnya menjadi medium kebebasan rakyat bersuara.

“Kerajaan hanya memberi alasan isu 3R sedangkan 3R sudah wujud berpuluh tahun lalu, namun tiada tekanan kerajaan berbanding era sekarang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/5/2024

- Advertisement -