Pelajar pondok, tahfiz diterap kemahiran TVET

- Advertisement -

KOTA BHARU: Gerakan Pertanian al Falah (GEPA) yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak penggal lepas kini dikembang dengan menerapkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam bidang pertanian.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, usaha tersebut turut mendapat saranan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

Katanya, TVET pertanian akan memberi nilai tambah bukan sahaja menjana pendapatan, bahkan memupuk kemahiran dan ilmu pengetahuan kepada pelajar.

“Tanah-tanah terbiar di kawasan pusat pengajian boleh dimanfaatkan pelajar pondok dan pusat tahfiz menggunakan teknologi untuk berkongsi ilmu teknikal pertanian.

“GEPA menerapkan elemen TVET pertanian bagi memberi nilai tambah dalam bidang pendidikan bagi membolehkan pelajar lebih berdaya saing pada masa akan datang,” katanya di sini.

Sebelum ini, pelajar pondok dan pusat tahfiz menerima Sijil Pentaulihan Pusat Latihan di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), program bagi Sijil Kemahiran Malaysia.

Tuan Mohd Saripudin juga berkata usaha tersebut merupakan kolaborasi antara JPK dan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) bagi menyediakan platform pendidikan TVET pertanian kepada pelajar pondok dan pusat tahfiz di Kelantan.

Menurutnya juga KPKB diberi peranan melaksanakan program TVET dalam bidang pertanian di pondok dan pusat tahfiz di negeri itu. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -