
JERAI: Jenazah Bintara Muda TNL, Noor Rahiza Anuar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Haji Nyak Gam, Ruat, Yan, selepas solat Isyak malam tadi.
Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit beserta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saad, turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada mangsa tragedi helikopter terhempas, Selasa lalu.
“Suasana sedih dan sayu menyambut kepulangan jenazah mangsa di sini (Masjid Ruat). Anak-anak arwah juga ada bersama.
“Semoga Allah rahmati ahli keluarganya, ditempatkan arwah di Jannah-Nya,” kata Sabri.
Jenazah dibawa ke rumah ayahnya di Jalan Pantai Murni, untuk penghormatan terakhir kepada sanak saudara, sebelum disolat serta dikebumikan di masjid berkenaan.
Terdahulu, Sabri bersama Setiausaha PAS Kedah, Senator Ustaz Musoddak Ahmad dan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim menziarahi ayah mangsa di kediamannya pada petang hari kejadian.
Sementara itu, seorang lagi mangsa kejadian, Muhammad Faisol Tamadun yang berasal dari Sik juga selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al Muhtadin, Sik Dalam, selepas solat Isyak.
Menurut kakak mangsa, kali terakhir adiknya pulang ke kampung adalah pada Hari Raya Aidilfitri lalu.
“Allahyarham balik raya baru ni, beria sangat nak tangkap gambar bertiga. Katanya buat kenangan kalau salah seorang dah tak ada nanti,” kata beliau.
Pada kejadian dua hari lalu, tujuh kru HOM Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan tiga kru Fennec TLDM telah terkorban apabila dua helikopter yang mereka naiki terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak. – HARAKAHDAILY 25/4/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!