
ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelajar sekolah merupakan aset depan negara.
Titah baginda, justeru golongan itu perlu dilengkapkan dengan pelbagai lapangan ilmu dan cara berfikir.
“Pelajar wajar melengkapkan diri dan meneroka ilmu yang terkini, melakukan inovasi, dan berusaha untuk mengekalkan kecemerlangan bahkan meningkatkan usaha masing-masing bagi mencapai keputusan yang lebih baik sama ada dalam pelajaran mahupun kokurikulum.
“Akhlak yang baik merupakan tunjang kejayaan setiap individu khususnya para pelajar sekalian,” titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 peringkat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Arau, di sini, hari ini.
Program bertemakan ‘Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’ itu diadakan di Dewan Sharifah Khatreena Nuraniah di sini, melibatkan penyertaan seramai 701 pelajar tingkatan satu hingga lima.
Baginda turut berharap agar pelajar sentiasa menjaga nama baik diri sendiri, keluarga dan nama baik sekolah serta mengelakkan dari terlibat dengan sebarang perlakuan tidak bermoral yang akan menjejaskan prestasi akademik.
Keberangkatan tiba baginda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Shahrizal Mohd Saderi; Pengarah MARA negeri, Mohd Azam Jamaluddin dan Pengetua MRSM Arau, Mohd Zamzuri Md Noor.
Turut hadir, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Penyelaras dari Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Untuk rekod, MRSM Arau mencapai pelbagai kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun kokurikulum, termasuk membawa pulang lima pingat emas, empat pingat perak dan enam gangsa dalam Kejohanan Taekwondo MRSM Se-Malaysia.
Dua orang pelajar sekolah itu juga mewakili negeri bagi sukan golf di peringkat Majlis Sukan Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian penamaan Wisma Pendeta MRSM Arau dengan nama Perpustakaan Syed Sirajuddin Areeb Putra mengambil sempena nama anakanda bongsu baginda bagi kegunaan warganya.
Turut dilaksanakan ialah penyerahan replika cek oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA kepada Pengetua MRSM Arau berjumlah RM36,543 untuk tujuan Perolehan Buku Teks 2024. – HARAKAHDAILY 25/4/2024