KUALA TERENGGANU: Rakyat Terengganu telah diheret dalam kejanggalan secara pentadbiran oleh Kerajaan Persekutuan dengan pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di kampung-kampung.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebagai sebuah negara yang berpegang kepada sistem demokrasi dan amalan federalisme, adalah tidak wajar perkara itu berlaku di peringkat akar umbi rakyat.
“Walau bagaimanapun, berpegang dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang telah kita terapkan selama lebih lima tahun ini. Biarlah mereka membaling batu, tetaplah kita membalas dengan bunga,” ujarnya semasa menggulung perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Oleh itu, beliau berharap JPKK di bawah kerajaan negeri dan JPKKP yang semuanya rakyat Terengganu dari komuniti yang sama, supaya dapatlah kedua-duanya menjalinkan kerjasama dengan erat tanpa mengira warna politik rakyat sekali gus memberikan lebih kesejahteraan kepada rakyat.
Tambahnya, tiada gunanya JPKK dan JPKKP berseteru atau mewujudkan suasana yang tidak harmoni kerana akhirnya yang akan terkesan ialah rakyat teramai di bawah.
“Usah kembalikan suasana tidak harmoni dalam masyarakat kampung yang telah kita berjaya kita rungkaikan dan hentikan sedikit demi sedikit sejak lima tahun lalu.
“Sebagai orang Terengganu, kita mesti tunjukkan kepada pihak yang cemburu dengan keharmonian negeri kita ini, budaya orang Terengganu adalah berbeza dengan budaya politik kuno yang suka mencari balah dan mencari salah.
“Lihatlah santunan terpuji di kalangan rakyat negeri Terengganu kita baru-baru ini dengan menyediakan makan minum dan buahan serta tempat rehat kepada perantau yang tidak dikenali iaitu ketika perjalanan sesak dan jalan jammed kesan dari perantau pulang berhari raya ke negeri tercinta ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 25/4/2024