Perlis beri penekanan kepada pembangunan insan

Muhammad Azmir Azizan
- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Perlis melaksanakan berbagai usaha untuk menjadikan negeri ini sejajar dengan konsep toyyibah yang terdapat dalam Surah Saba’ ayat 15.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Muhammad Azmir Azizan, usaha itu melibatkan aspek kerohanian, ekonomi, keperibadian, serta keseimbangan kehidupan di dunia dan akhirat.

“Satu daripada usaha yang dilakukan adalah melalui konsep amar makruf nahi munkar, di mana operasi penguatkuasaan dan kempen kesedaran jenayah syariah dijalankan.

“Ini bertujuan untuk mengembalikan masyarakat kepada ajaran Islam yang sebenar dan teguh mengamalkan sunnah Rasulallah SAW.

“Selain itu, kita juga memberi penekanan kepada pembangunan insan, yang melibatkan aspek fizikal dan spiritual termasuk pembentukan diri, keluarga, masyarakat, dan negara,” katanya semasa menjawab soalan Fakhrul Anwar Ismail (PN-Bintong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Selain itu, ujar Azmir, usaha juga diberikan dalam memperkasakan institusi masjid dan menggalakkan aktiviti yang mendekatkan masyarakat dengan Islam.

“Nilai-nilai ikhlas, akhlak yang mulia, dan integriti juga ditekankan di semua peringkat kerajaan dan agensi swasta sebagai langkah untuk membawa kepada kejayaan di akhirat.

“Kita mengharapkan sokongan dan dukungan dari semua pihak dalam usaha menjadikan Perlis sebagai negeri baldatun toyyibatun warabbun ghafur seperti yang diperintahkan oleh Al-Quran,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -