Gua Musang kini semakin rancak membangun

- Advertisement -

KOTA BHARU: Gua Musang akan lebih cepat membangun dengan adanya jaringan lebuh raya yang menghubungkan Kelantan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

- Advertisement -

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata Gua Musang sebagai pintu masuk utama dan pusat transit ke negeri Serambi Mekah itu.

Katanya, perancangan pembangunan tersebut sudah lama dibuat menerusi rancangan tempatan.

“Pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dijangka siap tidak lama lagi akan menjadi pemangkin pembangunan dan kemajuan di Gua Musang.

“Apabila LTU siap nanti apa yang dirancang MDGM sebelum ini akan menjadi kenyataan. Sekarang pun sudah muncul bandar-bandar baharu di Gua Musang.

“Sekarang ada kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lama dan baru antaranya R&R Masjid Buluh, Muse Eco Park, Dataran Titiwangsa, Taman Tasik, Taman Dato Kaya Setia dan lain-lain,” katanya di sini.

Menurutnya juga kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.7 juta kepada MDGM bagi menyediakan pelbagai kemudahan asas.

Katanya, sehingga April ini sebanyak RM1.2 juta disalurkan merangkumi RM762,500 di bawah Kumpulan Wang Amanah Penyelengaraan Jalan Negeri dan RM239,680 bagi pembangunan dan aktiviti lain.

Menurutnya juga sempena program Jelajah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2024 semalam, sebanyak RM117,900 disumbangkan kepada MDGM bagi pembelian tong sampah bagi menjayakan agenda Kelantanku Bersih. – HARAKAHDAILY 23/4/2024

- Advertisement -